SELANGOR

Selangor belum putuskan kenaikan tarif air

OLEH NORHAYATI UMOR

SHAH ALAM, 11 JAN: Keputusan kenaikan tarif air di negeri ini belum diputuskan kerana menunggu perbincangan antara Kerajaan Negeri dengan Kementerian Air, Tanah dan Sumber Asli.

Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari berkata, ia akan diputuskan selepas mesyuarat dengan kementerian itu masa terdekat.

Bagaimanapun, katanya, Kerajaan Negeri akan mempertahankan satu kadar tarif yang munasabah.

“Kita akan berbincang dan Selangor sedang menunggu perbincangan, proses ini membabitkan semua pihak juga pertemuan bersama rakyat.

“Kita perlu melihat banyak aspek, pertemuan bersama Kementerian akan diadakan dalam masa terdekat,” katanya ketika ditemui selepas menyampaikan amanat kepada penjawat awam di Kompleks Pejabat Kerajaan Daerah Petaling, di sini.

Terdahulu, Menteri Air, Tanah dan Sumber Asli, Xavier Jayakumar mencadangkan tarif air dinaikkan secara berperingkat tahun ini selaras dengan usaha kerajaan untuk menstruktur semula industri perkhidmatan bekalan air di negara ini.

Amirudin berkata, perkara itu juga dicadangkan ekoran tiada sebarang kenaikan dibuat dalam tempoh yang panjang di kebanyakkan negeri.

“Sebagai contoh, Pahang dan Perlis tiada kenaikan sejak 30 tahun lalu, begitu juga dengan Selangor sudah 12 tahun tidak dinaikkan.

“Saya akan pastikan jika ia naik, akan lebih rendah dari tarif elektrik,” katanya.

Pulau Pinang sebelum ini mengesahkan tarif air naik sehingga 20 peratus, Negeri Sembilan dan Perak masih kaji kesan, kewajaran tetapi tidak tolak untuk mengambil tindakan yang sama.

Sementara itu, Johor tidak akan menaikkan kadar tarif utiliti itu atas alasan sudah melakukannya pada 2015.

 


Pengarang :