SELANGORSUKANKINI

Selangor beri insentif RM929,200 kepada atlet SUKMA, Sukan Asia dan Para Asia

OLEH NORHAYATI UMOR

SHAH ALAM, 29 JAN: Kerajaan Negeri memberikan insentif sebanyak RM929,200 kepada atlet negeri itu yang berjaya melakar kejayaan dalam Sukan Malaysia (SUKMA), Sukan Asia dan Para Asia 2018.

EXCO Pembangunan Generasi Muda, Sukan dan Pembangunan Modal Insan, Mohd Khairuddin Othman berkata, insentif itu diberikan tanda penghargaan Kerajaan Negeri kepada atlet yang mengharumkan nama Selangor dalam pertandingan sukan yang disertai.

Katanya, Kerajaan Negeri amat prihatin dengan usaha dan sumbangan yang diberikan atlet, pegawai pasukan dan persatuan sukan negeri di tiga kejohanan sukan utama itu.

“Pasukan sukan yang menerima insentif tertinggi adalah renang yang beraksi cemerlang di SUKMA Perak dengan memenangi 12 emas, 16 perak dan 15 gangsa, sekali gus menerima insentif terbesar sebanyak RM194,000,” katanya pada Majlis Penyerahan Insentif Kemenangan Kontinjen Selangor, di Dewan Megawati, Kediaman Rasmi Dato’ Menteri Besar, di sini, hari ini.

Khairuddin berkata, sebanyak RM831,200 diberikan kepada atlet SUKMA; RM55,000 kepada atlet Sukan Asia Jakarta-Palembang dan RM43,000 kepada atlet Sukan PARA Asia, Indonesia daripada jumlah keseluruhan insentif itu.

“Kerajaan Negeri berbesar hati untuk mengiktiraf dan menghargai kecemerlangan atlet yang mewakili negara di Sukan Asia Jakarta-Palembang dan Sukan Para Asia.

“Seramai 16 atlet berjaya mengharumkan nama Malaysia, di bumi Indonesia. Mereka daripada atlet sukan tenpin bowling, sepak takraw, pencak silat, skuasy, terjun, basikal, sukan layar dan renang,” katanya.

Pada masa sama, beliau berkata, Kerajaan Negeri komited untuk menggalakkan pembangunan sukan secara menyeluruh menerusi pelbagai usaha yang dilaksanakan Majlis Sukan Negeri Selangor.

“Seperti kejayaan ketiga kejohanan ini, segala program dan latihan yang diwujudkan daripada akar umbi membantu dalam pembangunan atlet sekali gus, menyumbang kepada kejayaan yang dicapai tahun lalu,” katanya.

Antara senarai penerima insentif tertinggi secara individu adalah atlet berbasikal Sukan Para Asia., Mohd Najib Turano, sebanyak RM19,000 manakala atlet renang, Jordan Yip Zhu Ern, daripada SUKMA menerima RM14,000.

Selain itu bagi Sukan Asia, Siti Safiyah Amirah Abdul Rahman (tenpin bowling) serta Farhan Adam (sepak takraw) masing-masing menerima insentif RM8,000.

Pada kejohanan SUKMA Perak September lalu, kontinjen Selangor berjaya menduduki tempat ketiga dengan memperoleh kutipan pingat 47 emas, 69 perak dan 67 gangsa.

Manakala, bagi Sukan Asia, atlet Selangor berjaya meraih tiga emas, enam perak dan dua gangsa.

Sementara itu, bagi Sukan Para Asia, atlet negeri itu membawa pulang pingat perak (tiga) dan gangsa (lima).


Pengarang :