SUKANKINI

Selangor cemerlang atasi Puchong Fuerza 6-0

OLEH ZAREEF MUZAMMIL

SHAH ALAM, 12 JAN: Selangor mempamerkan aksi cemerlang dalam perlawanan persahabatan pra musim apabila menundukkan Juara Selangor Champions League (SCL) 2018, Puchong Fuerza FC 6-0, di Stadium Mini 3K Subang, di sini, malam tadi.

Kemenangan itu menyaksikan skuad bimbingan B Sathianathan berada pada landasan terbaik untuk memulakan kempen Liga Malaysia, musim ini.

Menurunkan kesebelasan utama, The Red Giants turut menampilkan penjaring terbanyak Liga Super musim lalu, Rufino Segovia yang kembali beraksi selepas pulih daripada kecederaan.

Sebaik wisel permainan dibunyikan, Selangor bermula dengan langkah garang apabila melancarkan serangan bertali arus terhadap kubu pertahanan pasukan lawan bagi memastikan gol awal.

Kesilapan penjaga gol Puchong Fuerza, Gabriel Sunday Aloysius yang gagal menepis bola dengan sempurna membolehkan tirai jaringan dibuka pada minit ke-10 melalui sepakan K Prabakaran, sekali gus meletakkan Selangor di hadapan.

Pada minit ke-21, pemain tengah, Wan Zack Haikal pula menguji pertahanan Puchong, namun percubaan sedikit tersasar ke bahagian kiri penjaga gol lawan.

Meskipun baru sahaja menyertai sesi latihan, namun kualiti yang ada pada Rufino Segovia sukar dinafikan selepas mudah menjaringkan gol kedua Selangor, berselang 11 minit selepas gol pertama.

Jaringan itu jelas memberi suntikan semangat kepada pemain import baharu Selangor, Antonio German yang turut mencatatkan nama selaku penjaring selepas percubaan Wan Zack Haikal terkena palang dan jatuh tepat di hadapan beliau, pada minit ke-39.

Beberapa minit selepas itu, Rufino sekali lagi membuktikan bahawa beliau adalah penyerang paling berbisa pada musim lalu apabila menyumbat gol keempat Selangor, pada minit ke-41.

Bersambung babak kedua, beberapa pertukaran dilakukan B Sathianathan yang menyaksikan Faiz Nasir, Sean Selavaraj, K. Sarkunan dan beberapa pemain dibawa masuk untuk memperkemas jentera pasukan meskipun sudah selesa dengan empat gol terkumpul.

Faiz Nasir yang masuk pada separuh masa kedua berjaya memberikan impak awal selepas berjaya menghadirkan gol kelima Selangor, manakala Sean Selavaraj melengkapkan pesta gol Selangor selepas menjaringkan gol keenam, ketika perlawanan berbaki tujuh minit.

Perlawanan persahabatan itu adalah yang terakhir buat Selangor sebelum berangkat ke Bangkok, Thailand bagi siri jelajah pra-musim.

FOTO: FA Selangor


Pengarang :