Stadium Shah Alam yang menjadi ikon Selangor perlu menjalani proses baik pulih secara menyeluruh. Foto ARKIB SELANGORKINI
SELANGORSUKANKINI

Selangor harap Stadium Shah Alam dapat digunakan 3 Februari

OLEH AFIX REDZUAN

SHAH ALAM, 26 JAN: Jurulatih Selangor, B Sathianathan berharap pasukannya dapat beraksi di Stadium Shah Alam pada perlawanan pertama menentang Felda United, pada 3 Februari ini dengan kemudahan secukupnya.

Katanya, sehingga kini, pasukannya masih belum dapat menjalani latihan pertama di stadium utama dan mengadakan siri perlawanan persahabatan.

Beliau berkata, keadaan itu tidak sepatutnya berlaku kerana Selangor adalah sebuah pasukan terkenal dalam saingan domestik dan seharusnya mempunyai kemudahan sukan, termasuk padang latihan dan bilik persalinan lengkap.

“Kita belum berlatih atau bermain perlawanan persahabatan di Stadium Shah Alam dan saya dikhabarkan (stadium) Shah Alam sedang dibaiki. Apa yang berlaku sebelum ini? Kenapa baik pulih sekarang dan ‘last minute’?

“Beberapa tahun sebelum ini yang saya dikhabarkan, perlawanan pertama Selangor di laman sendiri ditunda atau terpaksa beraksi di tempat lawan.

“Kenapa perlu tunggu minit akhir? Semua tahu musim akan bermula Februari, sepatutnya Disember sudah selesai,” katanya kepada media selepas Majlis Pelancaran Jersi Home dan Away Selangor di Sunway Resort Hotel & Spa, di sini.

Beliau berkata, isu itu sepatutnya diselesaikan pengurusan lama dan beliau memuji usaha dilakukan pengurusan baharu yang cuba memenuhi permintaannya demi keselesaan pemain.

Katanya, kemudahan sukan yang lengkap di samping skuad mantap mampu menarik kehadiran pemain berstatus bintang terutama pemain kebangsaan.

“Apabila saya kata kemudahan di kelab Johor Darul Ta’zim (JDT) bagus, ramai melenting dan kata saya bodek tetapi hakikatnya itu yang kita perlukan.

“Tidak hairan jika pemain akan ke JDT kerana mereka mempunyai kemudahan di sana,” katanya.


Pengarang :