SELANGOR

Selangor kaji keperluan laksana ujian psikometrik untuk guru Taska

OLEH SHEEDA FATHIL

SHAH ALAM, 20 JAN: Kerajaan Negeri sedang menjalankan kajian berhubung keperluan bagi pelaksanaan ujian psikometrik terhadap guru Taman Asukan Kanak-Kanak (Taska) di Selangor.

EXCO Kesihatan, Kebajikan, Pemberdayaan Wanita dan Keluarga, Dr Siti Mariah Mahmud berkata, cadangan itu kini dalam pertimbangan Kerajaan Negeri dan perbincangan akan dilakukan bersama Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan Jabatan Kesihatan Selangor.

“Selangor sedang kaji sama ada ia satu keperluan atau tidak kerana ujian ini tidak boleh dilakukan secara suka hati malah ia agak sensitif apabila membabitkan perasaan seseorang.

“Kita khuatiri apabila ia dilaksanakan, kita rasa individu itu kurang normal walhal sebenarnya dia normal sahaja, jadi bukankah itu akan menganiaya mereka,” katanya pada sidang media di sini, semalam.

Bagaimanapun, beliau berkata, pihaknya yakin kebanyakan guru Taska di Selangor sememangnya mempunyai kursus saringan oleh JKM sebelum melayakkan mereka bergelar guru.

“Setiap Taska terutama yang berdaftar di bawah JKM memang diwajibkan guru mereka perlu melalui kursus tertentu seperti Kursus Asas Permata bagi melayakkannya sebagai guru atau pengasuh kepada kanak-kanak,” katanya.

Terdahulu, media tempatan melaporkan Kerajaan Sarawak mencadangkan agar ujian psikometrik diwajibkan ke atas pengasuh di Taska berdaftar, termasuk pengasuh persendirian bagi memastikan mereka layak diberi amanah menjaga bayi serta kanak-kanak.

Inisiatif itu penting demi menjamin kesesuaian mereka melaksanakan tugas selain memastikan nyawa bayi dan kanak-kanak tidak terancam.


Pengarang :