SELANGOR

‘Selangor Maritim Gateway’ jadikan Sungai Klang indah, ekonomi rancak

OLEH NAZLI IBRAHIM

KLANG, 25 JAN: Pelaksanaan ‘Selangor Maritim Gateway’ bukan sahaja bakal mengubah persekitaran Sungai Klang menjadi lebih indah dan bersih tetapi turut menjadikannya sebagai pusat kegiatan ekonomi baru yang rancak.

Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari berkata, projek itu dilaksanakan oleh Syarikat Landasan Lumayan dan anak syarikat Kerajaan Negeri di bawah Pemerbadanan Menteri Besar (MBI).

“Azam dan tekad kita menjadikan Sungai Klang sebagai mesin pembangunan baru di Daerah Klang dapat dibangunkan seperti dirancang,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Perhimpunan Pagi Penjawat Awam Daerah Klang Bersama Dato’ Menteri Besar Selangor di Pejabat Daerah dan Tanah Klang di sini, hari ini.

Amirudin berkata, sebelum ini Sungai Klang menjadi tempat pembuangan pelbagai sampah oleh pihak tidak bertanggungjawab.

Menyentuh lanjut rancangan pembangunan di Klang, Amirudin berkata, setiap daerah dibahagikan kepada klusterisasi masing-masing berdasarkan aset dan kelebihan yang terdapat di lokaliti masing-masing.

Katanya, Daerah Klang memiliki kelebihan sebagai pusat perindustrian logistik juga pembuatan.

Selain itu, beberapa kawasan di Klang turut berpotensi dibangunkan dan dikembangkam sebagai pusat pelancongan.

“Kerjasama Pejabat Daerah dan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) untuk meneliti lokaliti ini dan aset yang belum dioptimumkan di daerah ini untuk dibangunkan,” katanya.


Pengarang :