BERITA UTAMASELANGOR

Selangor peruntuk RM20,000 hijaukan UNISEL

OLEH SHEEDA FATHIL

BESTARI JAYA, 18 JAN: Kerajaan Negeri memperuntukkan RM20,000 untuk pelaksanaan projek penanaman pokok di sekitar Universiti Selangor (UNISEL) kampus Bestari Jaya.

EXCO Alam Sekitar, Teknologi Hijau, Hal Ehwal Pengguna dan Hal Ehwal Bukan Islam, Hee Loy Sian berkata, peruntukan itu sebagai tanda sokongan Kerajaan Negeri terhadap usaha murni UNISEL melestarikan kampus.

“Saya amat berbangga dan gembira melihat UNISEL sentiasa gigih menghijaukan sekitar kampusnya.

“Oleh itu, saya optimis usaha gigih dijalankan UNISEL bagi mewujudkan persekitaran kampus yang lebih indah dan ceria akan berterusan dari semasa ke semasa sehingga hasrat menjadikan kampus dalam taman tercapai,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Program Penghijauan dan Simbolik Penanaman Pokok peringkat UNISEL di Kampus Bestari Jaya, di sini hari ini.

Pada masa sama, beliau turut memuji peranan UNISEL yang menyahut saranan Kerajaan Negeri apabila turut serta mengadakan pelbagai program berkonsep lestari alam.

“Ini adalah langkah yang harus dipuji dan perlu dijadikan contoh oleh institusi lain di negeri ini supaya bersama memelihara dan memulihara alam sekitar,” katanya.

Terdahulu, Loy Sian turut menanam pokok sebagai simbolik perasmian program.


Pengarang :