SELANGOR

Selangor sedia teliti semua perkara jika tarif air naik

OLEH AFIX REDZUAN

SHAH ALAM, 9 JAN: Kerajaan Negeri sedia meneliti semua perkara termasuk nasib golongan rakyat berpendapatan rendah (B40) jika berlaku kenaikan kadar tarif air tahun ini seperti yang dinyatakan Menteri Air, Tanah dan Sumber Asli, Dr Xavier Jayakumar.

EXCO Infrastruktur dan Kemudahan Awam, Pemodenan Pertanian dan Industri Asas Tani, Ir Izham Hashim berkata, beliau menyifatkan pandangan menteri itu dibuat secara umum.

“Selangor akan meneliti perkara ini secara terperinci dan jika ada keperluan (kenaikkan tarif), kita akan memastikan kenaikan tidak membebankan rakyat terutama golongan B40,” katanya.

Semalam, Xavier dilaporkan berkata, kadar tarif air mungkin dinaikkan secara berperingkat tahun ini selaras dengan usaha kerajaan menstruktur semula industri perkhidmatan bekalan air di negara ini.

Menurutnya, kenaikan tarif sumber asli itu perlu dilaksanakan bagi menjaga kepentingan pengguna untuk mendapatkan air berkualiti serta menjamin industri berkenaan daripada sudut perkhidmatan.

Beliau berkata, kementeriannya bersama Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) sedang berunding dengan beberapa Kerajaan Negeri untuk mendapatkan persetujuan semua pihak sebelum dilaksanakan.


Pengarang :