SUKANKINI

Selangor United ‘pintu masuk’ gilap bakat belia

OLEH ZAREEF MUZAMMIL

KUALA LUMPUR, 21 JAN: Selangor United menjadi ‘pintu masuk’ kepada golongan belia yang berbakat dan berpotensi besar dalam sukan bola sepak untuk menjadi pemain terulung suatu hari nanti.

EXCO Pembangunan Generasi Muda & Sukan dan Pembangunan Modal Insan, Mohd Khairuddin Othman berkata, ramai anak muda dari kampung, khususnya memiliki bakat terpendam dalam sukan bola sepak dan kebolehan itu wajar ditonjol serta dikembangkan.

“Tetapi persoalannya di mana mereka mahu menzahirkan bakat itu? Maka saya melihat Selangor United adalah medium paling tepat untuk mencungkil kebolehan sekali gus melahirkan pemain pelapis yang cemerlang dalam bola sepak.

“Oleh sebab itu, Kerajaan Negeri sentiasa mendokong penuh semua usaha untuk menyatukan bola sepak pada hari ini termasuk PKNS FC dan Selangor.

“Justeru, ketiga-tiga badan ini juga perlu diperkasa supaya pasukan kita dilihat lebih sistematik, sekali gus mampu bergerak ke hadapan dengan lebih jauh dalam industri bola sepak,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian Dan Pengenalan Pemain Pasukan Selangor United di Crystal Crown Hotel Kepong di sini, hari ini.

Hadir sama, Presiden Selangor United, Firdaus Mohammed; Pemangku Pengarah Majlis Sukan Negeri Selangor, Mohamad Nizam Marjugi dan Timbalan Presiden Malaysia United, Datuk Ramlan Askolani.

Tidak ketinggalan, Pengurus Pasukan Selangor United terdiri dari Sarib Muhammad Yusof (Liga Perdana), Nor Shahimy Mohd Nor (Piala Presiden) dan Aiman Firdaus Tan Abdullah (Piala Belia).

Terdahulu, seramai 90 pemain terdiri daripada 25 (Piala Belia), 25 (Piala Presiden) dan 30 (Liga Perdana) yang bakal menggalas tanggungjawab penting untuk memburu misi kejuaraan musim 2019 diperkenalkan dalam majlis itu.

Sementara itu, Presidennya, Firdaus Mohammed berkata, penubuhan Selangor United sejak 2017 itu selaras dengan hasrat Kerajaan Negeri yang mahu merakyatkan bola sepak seterusnya menjadi ejen kepada masyarakat.

“Kami sentiasa berusaha memastikan pasukan ini berada di landasan yang betul, sekali gus menjadikan agenda bola sepak di Selangor terpelihara.

“Pada masa sama, kami mahu merakyatkan lagi pemain yang akan hadir atau bermain untuk pasukan Selangor. Ini adalah usaha di peringkat Kerajaan Negeri untuk memastikan peluang kepada pemain terpilih untuk mengembangkan bakat mereka bukan sahaja di Selangor, bahkan ke peringkat nasional.

“Saya mengharapkan suatu perubahan besar terhadap pemain Selangor United pada musim ini kerana saya yakin dengan barisan pemain dipilih ini, kejutan akan berlaku untuk kita cabar pasukan yang bertanding dalam Liga Perdana,” katanya.

 

 


Pengarang :