GLOBAL

Selepas desak pesawat ubah haluan, penumpang mabuk ditahan

MOSCOW, 23 JAN: Seorang penumpang mabuk yang mendesak juruterbang mengubah haluan ke Afghanistan, ditahan sebaik pesawat mendarat dengan selamat di Siberia, hari ini.

Laporan agensi berita AFP memaklumkan, penerbangan domestik pesawat Aerofolot itu sedang dalam perjalanan dari Surgut di barat Siberia ke Moscow, terpaksa melakukan pendaratan kecemasan di bandar Khanty – Mansiysk berikutan kejadian itu.

Jawatankuasa Siasatan Russia berkata, lelaki tidak dikenali itu dikenal pasti dalam keadaan mabuk dan ditahan sebaik pesawat berjaya mendarat di bandar berkenaan.

Media tempatan Russia turut menyiarkan rakaman video menunjukkan seorang lelaki ditahan sekumpulan pengawal bertopeng yang lengkap bersenjata di dalam pesawat terbabit.

Pasukan penyiasat berkata, berikutan itu siasatan lanjut sedang dijalankan bagi mengenap pasti punca kejadian.

“Lelaki itu yang didakwa memiliki senjata dan berusaha memecah masuk ke dalam kokpit ketika penerbangan sebelum mendesak pesawat mengubah haluan.

“Kapten pesawat kemudiannya membuat keputusan melakukan pendaratan kecemasan di bandar Khanty – Mansiysk,” katanya.

 


Pengarang :