NASIONAL

Selesai isu bekalan elektrik pendalaman guna dana AAIBE

PUTRAJAYA, 28 JAN: Akaun Amanah Industri Bekalan Elektrik (AAIBE) akan digunakan secara berfasa bagi mengatasi isu bekalan elektrik di pedalaman Semenanjung dan Sabah.

Menteri Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim (MESTECC), Yeo Bee Yin berkata, perkara itu dibincangkan dalam mesyuarat pasca Kabinet kementerian untuk memastikan semua kawasan pedalaman mendapat bekalan elektrik dalam tempoh lima tahun.

Katanya, sebanyak 1,500 kediaman di Cameron Highlands telah dikenal pasti setakat ini manakala bagi statistik di kawasan lain, kementeriannya akan mendapatkannya daripada Jabatan Kemajuan Orang Asli dan Kementerian Pembangunan Luar Bandar

“Kita tidak akan menyambung bekalan elektrik pada rangkaian grid nasional malah ‘decentralized power system’ adalah jalan penyelesaian.

“Banyak kampung terletak jauh daripada grid nasional dan kalau kita mahu sambung, ia adalah sangat mahal.

“Jadi, kita buat decentralised atau mikro grid atau terus letak atas bumbung rumah supaya dapat bekalan elektrik,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas menyampaikan amanat kepada warga MESTECC pada Program MESTECC 2019: Kuasai. Laksana. Ungguli. (Own it. Do It. Ace It) di sini, hari ini.

Bee Yin berkata, pihaknya turut menggalakkan syarikat swasta melaksanakan tanggungjawab sosial korporat (CSR) atau melaksanakan kampung pedalaman angkat bagi menyediakan bekalan elektrik.

– BERNAMA


Pengarang :