SELANGOR

Semak dahulu sebelum sebar sesuatu berita – ADN

OLEH SHEEDA FATHIL

SHAH ALAM, 9 JAN: Masyarakat disaran merujuk kesahihan sesuatu berita terlebih dahulu sebelum bertindak menyebarkannya.

Ahli Dewan Negeri Bukit Melawati, Juwairiya Zulkifli berkata, ini kerana penyebaran berita tidak sahih mampu mengelirukan orang ramai.

Katanya, ia seperti berita pembinaan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Selangor yang tular, baru-baru ini.

“Saya ada terima salinan kertas kerja daripada pihak tidak dikenali kononnya ada cadangan mahu membina lapangan terbang terbabit.

“Namun, selepas disemak dengan pihak Pejabat Dato’ Menteri Besar, cadangan itu sebenarnya memang tiada.

“Oleh itu, saya berharap pihak tidak bertanggungjawab supaya tidak menyebarkan perkara sedemikian yang mana ia akan mengelirukan orang ramai,” katanya ketika dihubungi SelangorKini.

Terdahulu, tular berita palsu berkenaan pembinaan Lapangan Terbang Kuala Selangor di laman Facebook ‘Hello Malaysia’ pada 1 Januari lalu.

Melalui laman Facebook itu, ‘admin’ kononnya memberitahu pihaknya menerima gambar peta perancangan pembangunan Lapangan Terbang Kuala Selangor yang bakal merubah landskap pembangunan di situ.

Gara-gara berita palsu terbabit, netizen membuat pelbagai spekulasi termasuk mengkritik tindakan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT).

Bagaimanapun, Majlis Daerah Kuala Selangor (MDKS) sudah mengesahkan menerusi kenyataan itu di laman Facebook rasminya bahawa tiada perancangan untuk membangunkan projek mega terbabit.


Pengarang :