GLOBAL

Sepanyol catat pemindahan organ tertinggi dunia kali ke 27

MADRID, 15 JAN: Sepanyol mencatatkan jumlah pemindahan organ tertinggi dunia bagi 2018 untuk 27 tahun berturut-turut, lapor agensi berita Xinhua memetik data Kementerian Kesihatan, Penggunaan dan Kebajikan serta ​​​​​​​Pertubuhan Pemindahan Organ Kebangsaan (ONT) pada Isnin.

Sepanyol mengakhiri tahun lalu dengan purata 48 penderma organ bagi setiap sejuta penduduk dan 114 pemindahan organ bagi sejuta rakyat, paras tertinggi di dunia.

Data berkenaan juga menunjukkan Sepanyol menyaksikan peningkatan ketara jumlah penderma sejak lima tahun lalu, melepasi jumlah 34 penderma bagi sejuta rakyat pada 2014 kepada 48 pada tahun lalu.

“ONT terus memecahkan rekodnya sendiri pada ulang tahun ke-30nya, dengan 48 penderma bagi sejuta penduduk dan melaksanakan lebih 5,300 pemindahan organ dengan ​​​​​​​rekod baharu dicatatkan untuk pemindahan buah pinggang dan paru-paru,” kata Menteri ​​​​​​​Kesihatan, Maria Luisa Carcedo.

Jumlah penderma organ di Sepanyol juga adalah lebih tinggi berbanding 31.7 penderma bagi setiap sejuta penduduk Amerika Syarikat dan purata 22.3 per sejuta bagi Kesatuan ​​​​​​​Eropah.

“Memang jurang perbezaan dengan negara lain agak besar, tetapi kemampuan untuk meningkatkannya lagi adalah terhad dan kami juga berharap dengan mencegah penyakit, kami akan dapat menyaksikan tuntutan untuk proses pemindahan organ akan semakin ​​​​​​​berkurangan pada tahun mendatang,” kata Carcedo.

Sebanyak 57 peratus penderma organ di Sepanyol berusia lebih 60 tahun manakala 30 peratus lagi lebih 70 tahun, 10 peratus sudah menjangkau 80 tahun.

Enam puluh dua peratus pemindahan organ dilakukan selepas serangan jantung dan 16.2 peratus dilakukan selepas penderma disahkan kecederaan otak yang membawa maut.

SUMBER: BERNAMA


Pengarang :