SELANGOR

Shah Alam Hari Tanpa Kenderaan meriah dengan 6,000 peserta

OLEH AFIX REDZUAN

SHAH ALAM, 15 JAN: ‘Shah Alam Hari Tanpa Kenderaan Big Walk’ yang berlangsung sempena program Shah Alam Hari Tanpa Kenderaan mendapat sambutan menggalakkan dengan penyertaan lebih 6,000 peserta.

Program dianjurkan di Dataran Kemerdekaan, Seksyen 14, Shah Alam, Ahad lalu menyaksikan peserta ‘Shah Alam Hari Tanpa Kenderaan Big Walk’ telah berjalan kaki sejauh 5 kilometer melalui jalan persiaran di sekitar pusat bandar.

Ketua Bahagian Korporat dan Perhubungan Awam, Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA), Shahrin Ahmad berkata, majlis pelepasan larian disempurnakan Timbalan Datuk Bandar Shah Alam, Mohd Rashidi Ruslan, sambil disaksikan Ahli-Ahli Majlis dan Pengarah-Pengarah Jabatan MBSA.

“Program Shah Alam Hari Tanpa Kenderaan adalah inisiatif MBSA ke arah mempromosikan gaya hidup sihat dan mengurangkan penggunaan kenderaan di atas jalan raya menyebabkan pelepasan gas karbon monoksida yang boleh mencemar alam.

“Ini juga selaras dengan hala tuju MBSA untuk menjadikan Shah Alam sebagai bandar raya rendah karbon menjelang 2030,” katanya.

Pelbagai aktiviti menarik turut disediakan untuk memeriahkan program ini antaranya aktiviti riadah seperti acara berbasikal, senamrobik, persembahan pentas oleh kombo MBSA dan pemeriksaan kesihatan percuma.

Bagi menarik penyertaan orang ramai, MBSA juga menyediakan permainan wall climbing, senaman Taichi, Mobile Library, Shah Alam On Wheels, Food Truck, chu chu train, Klinik Frisbee, Hydro Gel Games, Futsal On 3, Akademi Soccer Kids, cabutan bertuah, jualan pokok serta baja kompos.

Selain itu, turut diadakan Jom Picnic Dhuha, dan Program ‘Kucing Angkat’ membabitkan 23 ekor kucing yang telah diadopsi semasa program diadakan.


Pengarang :