NASIONAL

Siasat jika ada elemen sabotaj

KUANTAN, 26 JAN: Pengurusan stesen televisyen Alhijrah melakukan siasatan dalaman untuk mengetahui sama ada berlaku elemen sabotaj dalam insiden pelanggaran etika dan dasar syarikat sebagai media dakwah.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Fuziah Salleh berkata, pengurusan Alhijrah akan mengemukakan laporan terperinci berkenaannya, pada Isnin ini.

“Kita ingin tahu siapa yang mempunyai akses kepada sistem termasuk ke atas laman sesawang dan sebagainya kerana dikhuatiri berlaku sabotaj memandangkan perbuatan itu tidak seperti kebiasaan.

“Alhijrah sebelum ini bersih dan profesional dalam kandungan mereka,” katanya lapor BERNAMA.

Beliau ditemui selepas merasmikan pusat servis 4S oleh Sendok Group yang menyediakan perkhidmatan jualan dan servis kepada trak tugasan berat jenama Sinotruck, di Jalan Gambang di sini, hari ini.

Sebelum ini, media melaporkan kenyataan ringkas Alhijrah di laman sosialnya bahawa Anggota Lembaga Pengarah syarikat itu akan mengambil tindakan tatatertib kepada semua pegawai bertanggungjawab melanggar etika dan dasar syarikat sebagai media dakwah.

Kenyataan itu walaupun tidak dijelaskan secara terperinci, dipercayai merujuk kepada penyiaran artikel berkaitan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak di media sosial dan laman sesawang Alhijrah, yang kini sudah dipadamkan.

Dalam perkembangan lain, Fuziah yang juga Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri KEADILAN Pahang berkata, beliau sudah menghantar notis tuntutan kepada penulis blog bernama Yusman Zahari Zakaria berhubung penulisan artikel yang didakwa bersifat fitnah.

“Saya mengarahkan peguam berbuat demikian kerana penulis berkenaan gagal membuat permohonan maaf dalam tempoh 24 jam yang diberikan,” katanya.

Terdahulu, Fuziah mendesak penulis blog itu memohon maaf kerana didakwa menuduhnya menggunakan kenderaan milik kerajaan untuk berkempen pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Cameron Highlands.

Beliau yang juga Anggota Parlimen Kuantan mendakwa perkara itu terkandung dalam artikel bertajuk ‘Fuziah Salleh bercakap depan cermin, terbukti beliau salah guna aset kerajaan’ yang turut tular di Facebook.


Pengarang :