NASIONAL

Singapura alukan kunjungan Azmin

OLEH NORHAYATI UMOR

SHAH ALAM, 14 JAN: Singapura mengalu-alukan inisiatif rakan sejawatannya dari Malaysia, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali mengunjungi dan bermesyuarat dengan menteri republik itu.

Kementerian Hal Ehwal Luar Singapura (MFA) berkata, ia dilakukan walaupun penangguhan mesyuarat ke-14 Jawatankuasa Bersama Menteri bagi Iskandar Malaysia (JMCIM), esok.

Azmin memulakan lawatan dua harinya semalam dan bertemu dengan Menteri Pembangunan republik itu, Lawrence Wong dan Menteri Luar, Dr Vivian Balakrishnan.

Balakrishnan berkata, beliau saling bertukar pendapat ketika majlis makan malam bersama Azmin dan menghantar gambar dirinya yang berbual di sepanjang tebing Sungai Singapura.

Katanya, beliau dan Azmin saling berbincang secara terbuka dan berterus terang serta mengesahkan peluang untuk kedua-dua negara bekerjasama ketika peralihan ekonomi global.

Sementara itu, Wisma Putra dalam kenyataan berkata, mesyuarat itu akan membentuk langkah positif hasil pertemuan dua hala Menteri Luar Malaysia dan Singapura, 8 Januari lalu.

“Ini memperlihatkan bahawa hubungan antara kedua-dua negara masih kukuh,” katanya.

Wisma Putra yakin momentum pembabitan antara Malaysia dan Singapura akan diteruskan dan mengukuhkan hubungan dua hala berdasarkan kesaksamaan dan hormat menghormati.

JMCIM ditubuhkan pada 2007 untuk meneliti bagaimana dua jiran itu dapat bekerja bersama dalam zon ekonomi Johor Selatan di Iskandar.

Mohamed Azmin dijangka mengetuai delegasi Malaysia ke mesyuarat JMCIM itu.


Pengarang :