GLOBALNASIONAL

Singapura mansuh tol motosikal di Linkedua

SINGAPURA, 1 JAN: Singapura bakal mengikuti langkah Malaysia memansuhkan tol kepada motosikal di Laluan Kedua Malaysia-Singapura (Linkedua), bermula 21 Januari ini.

Menurut Kementerian Pengangkutan Singapura yang dipetik The Straits Times di sini, dasar Singapura selama ini ialah menyeragamkan kadar tol dengan kadar dikenakan Malaysia.

Untuk rekod, kadar tol bagi motosikal ialah S$0.40 di Pusat Pemeriksaan Tuas bagi kedua-dua hala.

Malaysia memansuhkan kutipan tol sebanyak RM1.10 untuk motosikal di Plaza Tol Tanjung Kupang berhampiran Gelang Patah, Johor, bermula tengah malam tadi.

Langkah itu memberi manfaat jangka panjang kepada kira-kira 50,000 penduduk di sekitar Johor Bahru yang menggunakan laluan berkenaan setiap hari.

Kerajaan Malaysia mengumumkan pemansuhan tol terbabit pada pembentangan Bajet 2019, seiring dengan komitmen kerajaan untuk mengurangkan kos sara hidup rakyat.

*Sumber: BERNAMA


Pengarang :