PUTRAJAYA, 24 Jan — Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad (tengah) menyaksikan majlis penyerahan cek bernilai RM 2 billion untuk Tabung mySALAM B40 daripada Great Eastern Holdings Berhad yang diwakili oleh Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulannya, Khor Hock Seng (dua, kanan) kepada Menteri Kewangan, Lim Guan Eng (dua, kiri) semasa majlis pelancaran Skim Perlindungan Nasional B40 mySalam di Perbendaharaan Malaysia, Kementerian Kewangan hari ini. Turut sama Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad (kiri) dan Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Ir Amiruddin Hamzah (kanan). –fotoBERNAMA (2019) HAK CIPTA TERPELIHARA
BERITA UTAMANASIONAL

Skim mySalam beri manfaat kepada 3.69 juta rakyat

OLEH NORHAYATI UMOR

PUTRAJAYA, 24 JAN: Skim Perlindungan Nasional B40 (mySalam) yang diperkenalkan kerajaan dijangka memberi manfaat kepada 3.69 juta rakyat Malaysia, berumur 18 hingga 55 tahun.

Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, Skim mySalam itu adalah satu lagi inisiatif kerajaan untuk membantu kumpulan B40 dengan memberi perlindungan perubatan dalam bentuk bantuan kewangan apabila berlaku kecemasan atau masalah kesihatan.

“Kita akan berusaha sedaya upaya menjana dana bagi meringankan beban rakyat jelata dan untuk mencapai matlamat itu. Kita turut mengambil langkah inovatif dan alternatif.

“Usaha kami ini mula membuahkan hasil dan skim mySalam ini membuktikan langkah inovatif dan alternatif terbabit mampu membantu mencapai matlamat membantu rakyat.

“Skim mySalam ini diperkenalkan dengan sumbangan permulaan yang besar sebanyak RM2 bilion daripada syarikat insurans dan takaful Great Eastern,” katanya ketika berucap pada Majlis Pelancaran Skim Perlindungan B40 mySalam, di Dewan Utama, Kompleks Kementerian Kewangan Putrajaya, di sini, hari ini.

Foto:BERNAMA (2019) HAK CIPTA TERPELIHARA

Dr Matahir berkata, penerima layak mendapat perlindungan kesihatan secara percuma untuk 36 jenis penyakit kritikal merangkumi kanser, serangan jantung dan alzheimer di bawah skim itu.

“Sebagai sebuah kerajaan yang bertanggungjawab, Kerajaan Pakatan Harapan merasai keperitan yang ditanggung oleh rakyat yang hilang mata pencarian akibat sakit atau kemalangan.

“Skim ini akan menyediakan perlindungan takaful kepada isi rumah dalam kumpulan pendapatan bulanan 40 peratus terendah (B40) yang menerima Bantuan Sara Hidup Rakyat 2019 (BSHR),” katanya.

Pada masa sama, Dr Mahathir percaya, skim itu akan berjaya menarik dan menambahkan sumbangan kepada tabung mySalam daripada Great Eastern dan semua penanggung insurans serta pengendali takaful, di negara ini.

“Saya juga berharap syarikat insurans swasta yang lain dapat berganding bahu untuk memperluaskan jangkauan pemilikan polisi insurans dan takaful rakyat Malaysia.

“Selain itu, saya juga ingin mengambil kesempatan ini untuk menyatakan rasa gembira melihat kerjasama yang kukuh di antara Kementerian Kewangan dan Kementerian Kesihatan untuk meningkatkan taraf serta kesejahteraan rakyat,” katanya.

Sementara itu, katanya, selain Skim mySalam, inisiatif lain yang berkait rapat dan akan diperkenalkan oleh Kementerian Kesihatan ialah Skim Peduli Kesihatan atau PeKa B40.

“Skim PeKa B40 ini akan dilancarkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia pada minggu hadapan untuk golongan B40 berumur 50 tahun dan ke atas. Ianya adalah projek perintis tahun 2019 dengan peruntukan sebanyak RM100 juta,” katanya.

Pada tahun 2017, kadar penembusan insurans dan takaful dalam kalangan B40 yang bekerja adalah masih rendah pada kadar 30.3 peratus berbanding dengan kadar 50.4 peratus bagi semua rakyat bekerja.


Pengarang :