NASIONAL

SPR: 69 peratus pengundian awal sehingga 12 tengahari

OLEH AFIX REDZUAN

SHAH ALAM, 22 JAN: Sejumlah 69 peratus pengundi awal sudah keluar menunaikan tanggungjawab sempena Pilihan Raya Kecil (PRK) P078 Cameron Highlands, setakat jam 12 tengahari.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menerusi laman Facebook rasminya memaklumkan, ia adalah peningkatan sebanyak 14 peratus berbanding sekitar 55 peratus pada jam 11 pagi tadi.

Dalam perkembangan sama, Pengerusi SPR, Azhar Azizan Harun turut meninjau suasana pembuangan undi di Balai Polis Brichang, Cameron Highlands.

Seramai 247 pengundi awal terdiri daripada anggota polis dijangka keluar mengundi hari ini di dua pusat pengundian yang dibuka tepat pukul 8 pagi tadi.

Daripada jumlah itu, seramai 232 orang mengundi di bilik maklumat, Balai Polis Berinchang di sini bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Tanah Rata yang dibuka sehingga jam 5 petang ini.

Bagi DUN Jelai, seramai 15 lagi pengundi awal akan mengundi di bilik maklumat, Balai Polis Sungai Koyan sebelum pusat pengundian ditutup pada jam 2 petang.

Foto: BERNAMA


Pengarang :