NASIONAL

Sukarelawan MAPIM menangis lihat anak Syria kesejukan

OLEH NADIAH ZAMLUS

SHAH ALAM, 20 JAN: Kumpulan sukarelawan Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM) menangis apabila melihat kanak-kanak Syria menderita akibat suhu sejuk melampau yang melanda negara itu.

Ketua Pegawai Eksekutif (CEO), Dr Sani Araby Al-Kahery berkata, kanak-kanak di kem pelarian itu turut berhadapan situasi ‘frozen to death’ iaitu sejuk hingga berisiko menghadapi kematian.

Katanya, MAPIM turut khuatir berikutan kanak-kanak berkenaan terdedah kepada kejang dan sakit teruk akibat cuaca luar biasa.

“Ketika menghampiri kem pelarian, anak-anak kecil berlari mendapatkan sukarelawan MAPIM kerana tahu kami membawa bantuan buat mereka, ada yang tersenyum dan menangis.

“Setakat ini MAPIM sudah membantu lebih 2,000 pelarian mendapatkan bantuan namun angka terbabit amat kecil berbanding keperluan kepada 58,000 pelarian lain,” katanya.

Dr Sani yang juga Ketua Misi Bantuan Musim Sejuk Rescue Syria berkata, antara bantuan terdesak diperlukan ialah selimut, khemah pelarian, ubat-ubatan, makanan, alat pemanas dan baju sejuk.

Katanya, terdapat dua cara untuk membuat sumbangan iaitu pembayaran melalui online di www.tabungsyria.com atau menerusi akaun Maybank Islamic, 562834636987 atas nama Syria Emergency Appeal (Dana MAPIM).

“Buat masa ini, MAPIM masih kekurangan dana sebanyak RM800,000 bagi bantuan kecemasan fasa satu, oleh itu kami amat mengharapkan bantuan rakyat Malaysia yang prihatin,” katanya.

 


Pengarang :