NASIONAL

Sultan Muhammad V letak jawatan Yang di-Pertuan Agong

OLEH NORHAYATI UMOR

SHAH ALAM, 6 JAN: Sultan Muhammad V meletakkan jawatan sebagai Yang di-Pertuan Agong, berkuatkuasa hari ini.

Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara, Datuk Wan Ahmad Dahlan Ab Aziz berkata, peletakan jawatan itu selaras Perkara 32 (3) Perlembagaan Persekutuan.

“Baginda memaklumkan perkara ini secara rasmi kepada Duli-duli Yang Maha Mulia Raja-Raja melalui warkah yang diutuskan kepada Setiausaha Majlis Raja-Raja.

“Sepanjang menjalankan tugas sebagai Yang di-Pertuan Agong, Baginda berusaha untuk memenuhi tanggungjawab dan amanah selaku Ketua Negara.

“Baginda berperanan sebagai tunggak kestabilan, sumber keadilan, teras perpaduan dan payung penyatuan di kalangan rakyat,” katanya dalam kenyataan.

Wan Ahmad berkata, Baginda turut berterima kasih kepada kerajaan kerana memberi kerjasama mentadbir negara dan berharap rakyat Malaysia terus mengekalkan perpaduan.

Katanya, Baginda turut menzahirkan ucapan terima kasih kepada Duli Yang Maha Mulia Raja-Raja kerana memilih Baginda sebagai Yang DiPertua Agong bermula 13 Disember 2016.

“Baginda turut menzahirkan penghargaan kepada Perdana Menteri dan kerajaan yang memberi kerjasama dalam mentadbir negara.

“Selaku Pemerintah Tertinggi Angkatan Tentera, Baginda amat berbangga dengan pengorbanan serta taat setia yang dicurahkan kepada Baginda dan negara selama ini,” katanya.

Beliau berkata, Baginda turut bertitah kepada rakyat Malaysia supaya terus bersatu mengekalkan perpaduan, bertolak ansur dan bersepakat dalam memikul tanggungjawab terhadap negara yang berdaulat supaya negara terus aman dan harmoni.

 


Pengarang :