Foto: Utusan Online
BERITA UTAMANASIONAL

Sultan Pahang dipilih Agong ke-16, Sultan Perak kekal timbalan

OLEH NORHAYATI UMOR

SHAH ALAM, 24 JAN: Sultan Pahang Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah ibni Sultan Haji Ahmad Shah Al Musta’in Billah Shah dipilih sebagai Yang di-Pertuan Agong yang baharu bagi tempoh lima tahun, berkuat kuasa 31 Januari ini.

Pengumuman itu dibuat menerusi kenyataan Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja, Tan Sri Syed Danial Syed Ahmad.

Kenyataan itu menyebut menurut peruntukan Paragraf 3, Bahagian Pertama Jadual Ketiga Perlembagaan, keputusan Majlis Raja-Raja dikemukakan kepada kedua-dua Dewan Parlimen.

Foto: Utusan Online

“Perdana Menteri juga sudah dimaklumkan,” katanya.

Pemilihan Seri Paduka Baginda dibuat pada Mesyuarat Majlis Raja-Raja ke-251 (Khas), di Istana Negara, hari ini.

Baginda menggantikan Sultan Muhammad V yang meletak jawatan sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-15 berkuatkuasa 6 Januari lalu selepas memegang tampuk pemerintahan negara, sejak 13 Disember 2016.

Mesyuarat itu turut memilih Sultan Perak, Sultan Nazrin Shah sebagai Timbalan Yang di-Pertuan Agong, bagi tempoh sama.

Mesyuarat Khas Majlis Raja-Raja yang dipengerusikan oleh Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin, dihadiri oleh semua Sultan dan Raja Melayu kecuali Kelantan.

Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja dalam kenyataan pada 7 Januari lalu berkata, Majlis Raja-Raja memutuskan istiadat melafaz sumpah jawatan dan menandatangani surat memegang jawatan Yang di-Pertuan Agong baharu dan Timbalan Yang di-Pertuan Agong ditetapkan, pada 31 Januari ini.

 

 


Pengarang :