NASIONAL

Sultan Perak pangku jawatan Yang di-Pertuan Agong

OLEH NORHAYATI UMOR

SHAH ALAM, 7 JAN: Mesyuarat Raja-Raja yang berlangsung hari ini memutuskan supaya Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzudin Shah dilantik sebagai Pemangku Yang di-Pertuan Agong (YDPA).

Perkara demikian dimaklumkan sumber terdekat kepada Sultan Nazrin, lapor Astro Awani.

Keputusan itu dicapai susulan mesyuarat yang dihadiri enam daripada sembilan Sultan, di Istana Negara, di sini.

Sementara itu, Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, kerajaan tidak akan campur tangan dalam menentukan pengganti YDPA, sebaliknya menyerahkan sepenuhnya kepada Majlis Raja-Raja untuk membuat keputusan.

Beliau berkata, kerajaan juga menghormati keputusan Sultan Muhammad V meletakkan jawatan YDPA.

“Itu soal raja-raja. Mereka yang tentukan. Kerajaan tidak campur tangan dalam perkara ini, kita terima sahaja keputusan Majlis Raja-Raja.

“Sama ada penggantinya ditentukan mengikut giliran atau apa, kita serahkan juga kepada Majlis Raja-Raja. Saya tidak tahu bagaimana mereka tentukan pengganti, sama ada melalui undi atau apa, terpulang pada raja-raja,” katanya dalam sidang medianya di Terengganu.

Dr Mahathir berkata, Majlis Raja-Raja itu juga tidak terikat dengan susunan jawatan berkenaan walaupun terdapat turutan giliran.

Pada masa sama, beliau turut menasihatkan semua lapisan masyarakat supaya menghormati sesiapa pun yang diputuskan Majlis Raja-Raja sebagai penganti.

“Rakyat tidak ada hak tentukan siapa kena berhenti, siapa patut ganti. Kita terima sajalah apa keputusan raja-raja.

“Kita harap pengganti Sultan Muhammad V sebagai YDPA dapat diumumkan secepat mungkin,” katanya.


Pengarang :