SUKANKINI

Sumbangan pemain perlu setaraf gaji

KOTA BHARU, 17 JAN: Pemain yang beraksi dalam saingan Liga Malaysia perlu menyumbangkan khidmat besar kepada pasukan yang diwakili, setaraf dengan gaji tinggi dibayar persatuan.

Legenda bola sepak negara, Dali Omar berkata, beliau tidak menafikan bayaran tinggi kepada pemain satu perkembangan positif arena bola sepak negara, namun pemain perlu memberikan sumbangan besar kepada pasukan.

“Kita tidak mahu dalam persiapan musim, persatuan berebut untuk mendapatkan seseorang pemain dengan tawaran gaji lumayan kepada pemain untuk memperkuatkan pasukan.

“Apabila sah mendapat pemain itu, persatuan kecewa harapan ia tidak seperti diharapkan dan akhirnya pemain itu hanya memanaskan bangku simpanan akibat mutu pemainan mengecewakan.

“Persatuan pula terpaksa membazirkan wang untuk membayar gaji yang tinggi seperti kontrak perjanjian,” katanya kepada BERNAMA.

Pada masa sama, katanya, pemain perlu mempunyai sikap bertanggungjawab dengan gaji lumayan yang diberikan persatuan.

“Jangan fikir gaji tinggi semata-mata tetapi fikirkan juga kerja keras dan perkara yang perlu dilakukan untuk sentiasa memberikan sumbangan kepada pasukan, pada setiap perlawanan.

“Perlu ada sikap malu dalam diri apabila menerima bayaran tinggi, namun gagal memberikan khidmat baik kepada pasukan,” katanya.

Sebelum ini, nilai klausa pelepasan pemain menjadi perhatian peminat tempatan selepas beberapa pasukan mula mewujudkan perkara itu dalam kontrak pemain bagi mengelak berlaku isu rundingan ‘pintu belakang’.

Antaranya klausa pelepasan pemain kebangsaan seperti Akhyar Rashid ditetapkan pada kadar RM12 juta oleh Johor Darul Ta’zim (JDT) dan Selangor meletakkan harga RM6 juta kepada tonggak pertahanan skuad negara Syahmi Safari.

Untuk rekod, pada 1972, Dali mencipta sejarah dalam landskap bola sepak negara apabila menjadi pemain pertama berhijrah ke luar negara selepas disunting sebuah kelab profesional Liga Australia, Azzuri Australia (kini Perth Glory FC).


Pengarang :