SELANGOR

Syabas tuntas depani gangguan bekalan air

SHAH ALAM, 11 JAN: Beberapa kawasan di pusat bandar Kuala Lumpur dan kawasan sekitarnya bakal berdepan gangguan bekalan air berjadual bermula 9 malam esok.

Syarikat Bekalan Air Selangor Sdn Bhd (Syabas) menerusi kenyataannya berkata, pihaknya sudah membuat segala persiapan sepanjang tempoh gangguan yang dijangka berakhir pada 11 malam pada 13 Januari ini.

Katanya, gangguan berjadual itu adalah bagi perlaksanaan kerja-kerja pembaikan kebocoran serius paip air mentah dan hentitugas sementara Loji Rawatan Air Bukit Nanas.

“Pelbagai persiapan bagi menghadapi gangguan berjadual ini telah dan sedang laksanakan termasuk pemakluman awal dan hebahan notis gangguan kepada pelanggan-pelanggan.

“Pusat Khidmat Setempat (PKS) bagi memberikan bantuan kepada pelanggan akan mula diaktifkan pada jam 8.00 malam, pada 12 Januari (Sabtu) selain penempatan tangki-tangki statik di premis-premis kritikal,” menurut kenyataan itu.

Kenyataan itu turut memaklumkan, segala usaha diambil bagi mempercepatkan kerja-kerja pembaikan dan meminimakan tempoh gangguan.

“Kerjasama pelanggan sepanjang tempoh gangguan ini amatlah dihargai,” katanya.

Untuk makluman kemaskini, pertanyaan atau bantuan, pengguna boleh menghubungi Syabas di talian 15300 atau melayari laman sesawang www.syabas.com.my, Facebook “AirSelangor”, Twitter @air_selangor dan aplikasi telefon pintar Air Selangor, yang boleh dimuat turun di Google Play dan App Store,” katanya.


Pengarang :