dav
BERITA UTAMANASIONAL

Syor lantik wanita dalam Parlimen dan DUN tanpa pilihan raya

OLEH SHEEDA FATHIL

PETALING JAYA, 13 JAN: Kepimpinan wanita KEADILAN mencadangkan kerajaan melantik golongan wanita dalam Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN) tanpa perlu melalui proses pilihan raya.

Ketua Wanitanya, Haniza Talha berkata, ia bagi memenuhi sasaran pembabitan 30 peratus wanita sebagai pembuat keputusan dalam kerajaan.

“Pertemuan bersama Perdana Menteri (Tun Dr Mahathir Mohamad) dan Timbalan Perdana Menteri (Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail) sedang diatur untuk mengemukakan cadangan ini.

“Ini antara ‘electoral reform’ yang kita mahu syorkan, iaitu melantik wanita dalam Dewan Rakyat tanpa perlu memegang mana-mana kawasan, sekali gus golongan ini boleh mewakili suara wanita apabila berada di Dewan Rakyat,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Perasmian Konvensyen Wanita KEADILAN 2019 Selangor dan Wilayah Persekutuan serta Pelancaran Kempen Membanteras Keganasan Terhadap Wanita, di Auditorium Dewan Sivik Majlis Bandaraya Petaling Jaya, di sini, hari ini.

Turut hadir, Naib Presiden KEADILAN, Zuraida Kamaruddin; Ketua Wanita KEADILAN Selangor, Dr Daroyah Alwi dan Ketua Wanita Wilayah Persekutuan, Idawate Pariman.

Haniza berkata, Jerman dan Afrika adalah contoh negara yang sudah melaksanakan kaedah sedemikian dan jika dilaksanakan di Malaysia, ia mampu memberi impak terhadap dasar kerajaan.

Pada masa sama, beliau yang juga Ahli Dewan Negeri Lembah Jaya komited pembabitan wanita diperkasa dengan konsisten.

dav

“Kita akan menghantar satu surat peringatan kepada semua pengerusi majlis pimpinan negeri untuk melantik wanita dalam pelbagai peringkat jawatan politik untuk mencapai hasrat 30 peratus pembabitan wanita.

“Satu jawatankuasa bertindak khas akan dibentuk berperanan mengaudit pencapaian dasar itu sama ada tercapai atau masih jauh dari sasaran,” katanya.

Terdahulu, konvensyen zon tengah yang menghimpunkan hampir 500 jawatankuasa wanita KEADILAN Selangor dan Wilayah Persekutuan itu bertujuan memperkenalkan saf kepimpinan wanita peringkat pusat dan negeri.


Pengarang :