SELANGOR

Taklimat kemasukan SAM, dedah pelajar asnaf bantuan dermasiswa LZS

OLEH ZAREEF MUZAMMIL

SHAH ALAM, 28 JAN: Seramai 27 pelajar asnaf fakir dan miskin menghadiri taklimat kemasukan ke Sekolah Agama Menengah (SAM) anjuran Lembaga Zakat Selangor (LZS) di Ibu Pejabat LZS, di sini, baru-baru ini.

Jurucakap LZS dalam kenyataan berkata, taklimat itu bertujuan memberi penerangan kepada pelajar berkaitan bantuan dermasiswa kecil LZS yang akan disalurkan kepada mereka untuk menempatkan diri di SAM.

“Selain SAM di bawah Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS), pelajar asnaf fakir dan miskin yang mendapat tawaran ke Sekolah Berasrama Penuh (SBP) Persekutuan, Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) dan Kolej Vokasional juga boleh memohon untuk mendapatkan dermasiswa dari LZS.

“Kita juga menyediakan bantuan yuran pengajian maksimum sehingga RM2,000, bantuan wang saku berjumlah RM70 sebulan dan bantuan wang persediaan berjumlah RM300 khusus kepada pelajar di SBP.

“Kesemua bantuan ini disalurkan kepada pelajar asnaf fakir miskin bermula dari tingkatan satu hingga lima,” katanya.

Turut hadir, Ketua Divisyen Pembangunan Asnaf, Zaharuddin Salim dan Penolong Pengarah Unit Pengurusan Sekolah JAIS, Mohd Don Raban.

Sementara itu, salah seorang bapa, Solehin Suratman, 58, mezahirkan rasa gembira dengan tawaran diberi kepada anaknya, Afrin Annisa, 13, meskipun ia bukan pilihan pertama untuk memasuki SAM.

“Bantuan zakat ini sangat meringankan beban saya untuk persediaan anak masuk sekolah.

“Terima kasih kepada pembayar zakat kerana dapat membantu asnaf seperti saya,” katanya yang berasal dari Sabak Bernam.


Pengarang :