NASIONAL

Tangguh hubungan dialog ASEAN-EU

OLEH NORHAYATI UMOR

SHAH ALAM, 24 JAN: Menteri Luar Negeri, Datuk Saifuddin Abdullah, menyuarakan pendapat untuk menangguhkan peningkatan hubungan antara ASEAN dan Kesatuan Eropah kepada status ‘perkongsian strategik’.

Beliau berkata, ia harus ditangguhkan pada satu tarikh akan datang ekoran pertikaian perdagangan minyak sawit yang berterusan.

“Harapan Malaysia bahawa ASEAN dan EU terus berusaha mengukuhkan hubungan antara kedua-dua organisasi berasaskan kerjasama erat yang sedia ada seperti yang digariskan Pelan Tindakan ASEAN-EU (2018-2022).

“Semua menteri luar bersetuju untuk menaiktaraf hubungan itu, namun butiran dan masa akan ditentukan kelak ekoran isu yang dibangkitkan Indonesia dan Malaysia,” katanya dalam kenyataan.

Terdahulu, Saifuddin berkata, tindakan melabel minyak kelapa sawit sebagai suatu ancaman adalah ‘tidak adil’, memandangkan Malaysia mempunyai lebih daripada 60 undang-undang dan peraturan yang meliputi hidupan liar dan perlindungan alam sekitar sebagai tambahan kepada penekanan keselamatan serta kebajikan pekerja.

“Itu sebabnya tidak adil untuk menyebarkan minyak kelapa sawit Malaysia sebagai ancaman kepada alam sekitar dan bertentangan dengan (Tujuan Pembangunan Mampan PBB). Yang kami masukkan dalam manifesto (Pakatan Harapan), Rancangan Malaysia ke-11 dan Rangka Kerja Dasar Asing kita antara lain.

“Memandangkan kesan buruk terhadap keadaan ini terhadap Malaysia dan negara pengeluar minyak sawit ASEAN lain. Malaysia dan Indonesia bersama-sama sokongan negara anggota ASEAN lain berpendapat bahawa peningkatan hubungan dialog ASEAN-EU ke arah perkongsian strategik seharusnya ditangguhkan ke peringkat seterusnya,” katanya.

Sementara itu, dalam bidang anti-keganasan, Menteri Luar menggariskan peranan yang dimainkan oleh Malaysia melalui program pembinaan keupayaan di bawah Pusat Serantau Asia Tenggara bagi mencegah keganasan.

Pada Januari 2018, Parlimen Eropah meluluskan resolusi untuk mengharamkan penggunaan minyak sawit dalam pengeluaran biofuel di EU pada tahun 2020 dalam usaha untuk menghentikan penebangan hutan di Indonesia dan Malaysia iaitu dua pengeluar komoditi terbesar minyak sawit.

 


Pengarang :