SELANGOR

Tarif air: Selangor jamin tidak beban rakyat

OLEH NADIAH ZAMLUS

KLANG, 25 JAN: Kerajaan Selangor berjanji tidak akan membebankan rakyat jika berlaku kenaikan kadar tarif air, di negeri ini.

Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari berkata, perkara itu sudah dimaklumkan berulang kali termasuk dalam sidang Dewan Negeri Selangor, sebelum ini.

“Saya tidak boleh memberi jaminan bahawa kadar itu langsung tidak akan dinaikkan, namun apa yang boleh katakan ialah Kerajaan Negeri mempunyai formula untuk menyesuaikan supaya kenaikan tarif air ini tidak terlalu membebankan.

“Subsidi tetap akan diberikan dan janji kita adalah melihat kelompok yang amat memerlukan terutama buat golongan B40 (berpendapatan rendah),” katanya kepada media.

Beliau berkata demikian selepas menghadiri Majlis Penyerahan Hak Milik Tanah dan Notis 5A kepda penduduk Kampung Sungai Sireh Tambahan, di Dewan Orang Ramai Kampung Delek.

Pada masa sama, katanya, Kerajaan Negeri masih dalam peringkat perbincangan bersama Kementerian Air, Tanah dan Sumber Asli bagi menentukan kadar tarif air terbabit.

“Kita sedang menyemak dan menilai semula sebarang justifikasi,” katanya.


Pengarang :