NASIONAL

Tayar celup punca lebih 10,000 kes kemalangan

GEORGE TOWN, 4 JAN: Lebih 10,000 kes kemalangan di negara ini didapati berpunca daripada penggunaan tayar celup, kata Menteri Kerja Raya, Baru Bian.

Beliau berkata, statistik dikeluarkan Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) adalah satu angka mengejutkan apabila jumlah kemalangan dicatatkan setiap tahun berpunca daripada penggunaan tayar celup itu.

Katanya, selain itu kenderaan terlebih muatan seperti lori turut menyumbang kepada punca kemalangan di negara ini.

“Saya sangat terkejut dengan perkara ini. Kalau kita bahagikan setahun iaitu 365 hari bermakna sehari 30 kemalangan direkodkan disebabkan tayar celup. Bagi kenderaan terlebih muatan, statistiknya pun begitu tinggi.

“Bagi saya, perkara ini, kita akan ambil serius melalui penguatkuasaan memastikan tiada kenderaan terlebih muatan di jalan raya. Kedua, tayar celup tidak selamat,” katanya pada sidang media di sini, hari ini.

Terdahulu, Baru mengadakan lawatan kerja ke Pejabat Wilayah Utara LLM sebelum diberi taklimat berkenaan pelaksanaan operasi dan penyenggaraan lebuh raya serta aspek pengurusan dan operasi Jambatan Pulau Pinang dan Jambatan Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah.

Turut hadir, Ketua Pengarah LLM, Datuk Aziz Abdullah.

Baru yang juga Anggota Parlimen Selangau berkata, pihaknya akan mengadakan kerjasama dengan Kementerian Pengangkutan dan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) untuk memastikan penguatkuasaan dapat dilaksanakan bagi mengurangkan kadar kemalangan di negara ini.

Sementara itu, mengulas mengenai penutupan bangunan utama Mahkamah Tinggi Pulau Pinang bagi kerja membaik pulih bangunan warisan itu, beliau berkata, ia dijangka bermula Jun ini dan mengambil masa dua tahun untuk disiapkan.

“Kerja pembaikan ini akan diuruskan JKR (Jabatan Kerja Raya) dengan anggaran kos sebanyak RM17 juta. Kerja pembaikan merangkumi baik pulih bumbung, dinding dan struktur yang rosak.

“JKR telah menyediakan laporan kerosakan dan pengesyoran pembaikan bangunan adalah di bawah kategori warisan. Kami akan tengok macam mana bangunan ini akan dipulihkan. Bagi saya ini adalah satu perkara penting kerana saya juga adalah seorang pencinta warisan,” katanya.

Bangunan utama Mahkamah Tinggi Pulau Pinang ditutup sejak 3 September tahun lalu atas faktor keselamatan dan semua mahkamah tinggi di situ dipindahkan ke Bangunan Annex bersebelahan bangunan utama itu.

Sempena lawatan kerja itu, Baru turut dijadual meninjau perjalanan operasi tol di lorong motosikal di Plaza Tol Jambatan Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah dan Plaza Tol Jambatan Pulau Pinang sejak pemansuhan tol bagi motosikal bermula 1 Januari lalu.

SUMBER: BERNAMA


Pengarang :