SELANGOR

Tekad bantu golongan B40 sepanjang 2019 – ADN Dengkil

OLEH NADIAH ZAMLUS

SHAH ALAM, 2 JAN: Golongan isi rumah berpendapatan rendah (B40) akan terus dibantu bagi memastikan kumpulan berkenaan keluar dari kepompong terbabit, sekali gus menjadi penyumbang kepada kemakmuran negeri.

Ahli Dewan Negeri Dengkil, Adhif Syan Abdullah berkata, itu antara tekad dan misinya sepanjang tahun 2019 dengan memastikan kumpulan terbabit yang sentiasa dibantu bakal menjadi penyumbang kepada negeri dan negara, satu hari nanti.

“Justeru, pada tahun ini, saya akan berusaha memperkasa penduduk Dengkil menghadapi Revolusi Industri 4.0 dan mempersiapkan anak muda dengan kemahiran serta fasiliti yang diperlukan untuk membolehkan mereka berjaya.

“Saya juga akan terus komited menyokong segala program dan inisiatif rakyat serta pihak swasta yang membawa kebaikan kepada rakyat dari segenap segi kerana pemberdayaan rakyat hendaklah menjadi keutamaan,” katanya kepada SelangorKini.

Pada masa sama, beliau turut berharap supaya rakyat terus yakin dengan Kerajaan Pakatan Harapan yang sedang berusaha membaik pulih negara.

“Kita sudah diambang kejayaan tetapi kita juga perlukan sedikit masa. Semoga dengan berkat kesabaran, keyakinan dan usaha kita bersama, Malaysia pasti bangkit semula sebagai Harimau Asia yang digeruni.

“Marilah kita bersama-sama sebagai sebuah komuniti yang besar, bina kawasan kita menjadi suatu yang membanggakan selaras semangat ‘Maju Bersama’,” katanya.


Pengarang :