NASIONAL

Tengku Abdullah akan dimasyhurkan sebagai Sultan Pahang

PEKAN, 12 JAN: Majlis Jumaah Pangkuan Diraja Negeri Pahang yang bersidang semalam bersetuju bahawa Pemangku Raja Pahang, Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah, dimasyhurkan sebagai Sultan Pahang keenam.

Meemtik BHOnline, majlis pemasyhuran Tengku Abdullah sebagai Sultan Pahang akan diadakan di Istana Abu Bakar Pekan, pada 15 Januari ini.

Tengku Abdullah dilantik sebagai Pemangku Raja Pahang selepas mendapat perkenan Sultan Ahmad Shah yang diisytiharkan dalam surat rasmi kerajaan negeri, bertarikh 28 Disember 2016.

Mengikut tradisi giliran, jawatan Yang di-Pertuan Agong selepas Kelantan adalah Pahang diikuti Johor dan Perak, namun keputusan pemilihannya akan dibuat Majlis Raja-Raja.

Bagaimanapun, Sultan Ahmad Shah dikatakan tidak sihat dan Tengku Abdullah boleh ditabalkan sebagai Yang di-Pertuan Agong XVI jika baginda dilantik sebagai Sultan Pahang.

Majlis Raja-Raja akan mengadakan mesyuarat khas di Istana Negara, pada 24 Januari ini untuk memilih Yang di-Pertuan Agong XVI dan Timbalan Yang di-Pertuan Agong.

Majlis Raja-Raja juga akan mengadakan mesyuarat khas bagi acara Mengangkat Sumpah Jawatan Yang di-Pertuan Agong XVI dan Timbalan Yang di-Pertuan Agong, pada 31 Januari ini.

Terdahulu, Sultan Muhammad V meletakkan jawatan sebagai Yang di-Pertuan Agong XV yang dibuat selaras Perkara 32 (3) Perlembagaan Persekutuan.


Pengarang :