BERITA UTAMASELANGOR

Tengku Permaisuri Norashikin lega pembunuh kucing dihukum penjara

OLEH ZAREEF MUZAMMIL

SHAH ALAM, 18 JAN: Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Tengku Permaisuri Selangor, Tengku Permaisuri Norashikin, menzahirkan rasa lega dengan keputusan Mahkamah Sesyen Selayang, yang menjatuhkan hukuman penjara dua tahun terhadap pesalah laku kekejaman kucing, pada 11 September tahun lalu.

Bagaimanapun, Tengku Permaisuri turut berasa amat dukacita dan sedih kerana masih berlaku beberapa insiden membabitkan kekejaman terhadap haiwan, termasuk anak kucing dipijak sehingga mati dan perbuatan meracun serta membakar anjing.

“Akta Kebajikan Haiwan 2015 jelas memperuntukkan hukuman denda RM20,000 hingga RM100,000 dan/atau penjara sehingga 3 tahun boleh dikenakan terhadap sesiapa yang melakukan kekejaman terhadap haiwan.

“Saya memohon kepada seluruh rakyat Malaysia untuk menyemai sifat kasih sayang dan belas kasihan terhadap haiwan yang terbiar di jalanan ini yang tidak mampu mempertahankan diri mereka sendiri,” titah baginda.

Baginda bertitah demikian dalam satu kenyataan dimuat naik di Instagram Selangor Royal Official.

Baginda yang juga Penaung Diraja Kempen Stray Free Selangor turut menggesa Jabatan Perkhidmatan Veterinar dan majlis perbandaran di seluruh negara supaya mengambil tindakan proaktif dalam mempromosikan ‘Caring and Compassionate Communities’ melalui Pendidikan Perikemanusian bagi Pemilikan Haiwan Peliharaan Secara Berhemah dan Bertanggungjawab.

“Ia termasuk menyebar luaskan inisiatif mengkasi atau pemandulan serta membina pusat perlindungan bagi menjaga haiwan terbiar yang masih sihat dan tidak agresif ini.

“Sebagai Penaung Diraja Kempen Stray Free Selangor The Humane and Compassionate Way bersama SPCA Selangor, saya mengalu-alukan usaha yang dijalankan di bawah kempen Stray Free Selangor ini.

“Saya menggesa pihak berkuasa terbabit supaya bekerjasama dengan badan bukan kerajaan dan masyarakat yang prihatin, ke arah membanteras sebarang bentuk perlakuan kejam terhadap haiwan,” titah baginda.

Terdahulu, seorang pemandu teksi tular dalam rakaman kamera litar tertutup ekoran menangkap dan memasukkan seekor kucing bunting ke dalam mesin pengering sehingga mati.

Hakim Rasyihah Ghazali kemudian menjatuhkan hukuman penjara dua tahun terhadap A Mohanraj, 42, selepas tertuduh menukar pengakuan kepada bersalah ketika kes ditetapkan untuk sebutan semula.

Mahkamah memerintahkan tertuduh menjalani hukuman penjara bermula dari tarikh tangkapan, pada 14 September tahun lalu.

Berdasarkan kertas pertuduhan, Moharaj didakwa dengan kejamnya menyebabkan penderitaan tidak sepatutnya terhadap seekor kucing di kedai dobi Queen Self-Service, Taman Gombak Ria, di sini, jam 12.54 tengah malam hingga 1 pagi, pada 16 September tahun lalu.


Pengarang :