Urusan penukaran status akaun kanak-kanak ke akaun dewasa perlu dibuat sebelum 1 Mei 2022
NASIONAL

TH: Permindahan ekuiti tidak berprestasi baik ke SPV selesai

KUALA LUMPUR, 10 JAN: Lembaga Tabung Haji (TH) selesai memindahkan semua ekuiti tidak berprestasi baik kepada syarikat tujuan khas (SPV), Urusharta Jamaah Sdn Bhd setakat 30 Disember tahun lalu.

​​​Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Seri Zukri Samat berkata, ​​​​​​​satu sidang media khas bagi memaklumkan perkembangan usaha itu akan diadakan minggu depan.

“Satu sidang media akan diadakan minggu depan. Bagi perkara yang membabitkan TH, kita sudah pun memindahkan saham itu,” katanya kepada Bernama ketika diminta mengulas mengenai usaha pemindahan itu kepada SPV yang juga sebahagian daripada langkah penstrukturan semula​​​​​​​ TH.

Bagaimanapun, beliau tidak memberi sebarang komen bagi pertanyaan menerusi aplikasi Whatsapp jika usaha pemindahan itu turut membabitkan aset hartanah milik TH.

Berdasarkan pemerhatian, sekurang-kurangnya 49 syarikat senaraian awam telah memberi ‘Notis Orang Yang Terhenti Menjadi Pemegang Syer Substansial’ kepada Bursa Malaysia bermula dari 28 Disember tahun lalu sehingga semalam, susulan pengambilalihan saham terbabit oleh Urusharta Jamaah.

Pada sidang media 11 Disember tahun lalu, Zukri berkata, TH menyasarkan untuk menyelesaikan langkah pemindahan itu menjelang akhir Disember bertujuan menstabilkan kedudukan kewangan dengan aset mengimbangi liabiliti selain membolehkan TH membayar dividen tahunan bagi tahun kewangan 2018.

Secara keseluruhannya, aset bernilai RM19.9 bilion telah dikenal pasti untuk dipindahkan kepada SPV yang merangkumi 80 peratus dalam bentuk ekuiti dengan susut nilai melebihi 20 peratus manakala baki dalam bentuk hartanah dengan hasil di bawah dua peratus.

Sebagai pertukaran terhadap aset itu, SPV itu akan menerbitkan sukuk tujuh tahun bernilai RM10 bilion dan RM9.9 bilion Saham Keutamaan Boleh Tebus Islam.

Zukri berkata, TH juga berhasrat mengurangkan dedahan ekuitinya kepada 20 peratus berbanding 40 peratus, sebelum ini.

Antara syarikat terbabit dalam pemindahan saham itu adalah UEM Sunrise Bhd, Boustead Heavy Industries Corporation Bhd, Alam Maritim Resources Bhd, Mah Sing Group Bhd, FGV Holdings Bhd, Brahim’s Holdings Bhd, Puncak Niaga Holdings Bhd, Parkson Holdings Bhd, White Horse Bhd, MCT Bhd MMC Corporation Bhd, Suria Capital Holdings Bhd dan Malaysia Marine & Heavy Engineering Holdings Bhd.

Setakat ini, TH masih kekal memegang saham utama dalam kaunter seperti Tenaga Nasional Bhd, Ranhill Holdings Bhd, Maxis Bhd dan BIMB Holdings Bhd.

Sebagaimana diumumkan sebelum ini, pemindahan aset tidak berprestasi baik kepada SPV di bawah Kementerian Kewangan, juga bertujuan menstabilkan kedudukan kewangan TH.

TH mencatat liabiliti RM74.4 bilion berbanding jumlah aset RM70.3 bilion yang menunjukkan defisit RM4.1 bilion setakat 31 Disember 2017.

SUMBER: BERNAMA


Pengarang :