SUKANKINI

The Red Ants sasar kelompok lima terbaik

OLEH ZAREEF MUZAMMIL

SHAH ALAM, 25 JAN: PKNS FC enggan menoleh ke belakang apabila bertekad untuk berada dalam kelompok lima terbaik dalam kancah Liga Super musim ini sekali gus mengulangi pencapaian hebat musim lalu.

Presidennya, Siti Zubaidah Abd Jabar berkata, skuad digelar The Red Ants itu juga dicabar untuk membawa pulang sekurang-kurangnya satu trofi kejuaraan pada musim ini.

Katanya, adunan pemain lama dan baharu yang dibawa masuk diyakini mampu mengekalkan momentum sedia ada seterusnya memberi cabaran sengit kepada pasukan gergasi Liga Malaysia lain.

“Pasukan ini melakukan perancangan lebih awal dengan membawa masuk hampir 60 peratus pemain muda yang rata-rata berumur lingkungan 26 tahun seperti Ariff Farhan Abu Bakar, Syafiq Shaharudin, Fandi Othman dan Tommy Mawat.

“Pemain berpengalaman yang menyertai pasukan pula bagi membimbing pemain muda adalah Shahrom Kalam dan R Surendran malahan turut membawa kembali pemain import musim 2015-2016 iaitu Gabriel Guerra selain Kpah Sean Sherman (Liberia) dan Chan Vatanaka (Cambodia).

“Saya lihat PKNS FC juga membuat persiapan pra musim dengan rapi sejak Disember tahun lalu dan mengadakan beberapa siri perlawanan. Mereka turut ke selatan tanah air untuk bertemu satu pasukan di Johor serta dua pasukan di Singapura,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Pengenalan Pemain dan Pelancaran Jersi Baharu PKNS FC 2019 di Uptown Shah Alam di sini, malam tadi.

Hadir sama, EXCO Pembangunan Generasi Muda & Sukan dan Pembangunan Modal Insan, Mohd Khairuddin Othman; Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif PKNS, Norita Mohd Sidek; Pengurus Pasukan PKNS FC, Mahfizul Rusydin Abd Rashid dan Ketua Jurulatih, Datuk K Rajagobal.

Sementara itu, K Rajagobal tidak mahu anak buahnya menghadapi tekanan meskipun pihak pengurusan meletakkan sasaran tinggi sekurang-kurangnya merangkul satu trofi musim ini.

Katanya, kepercayaan dan keyakinan perlu diletakkan kepada pemain muda yang boleh memberi sepenuh komitmen untuk menerima tunjuk ajar daripada pemain lebih berpengalaman.

“Kita nampak tanda positif ditunjukkan antara pemain muda dan berpengalaman, tetapi kita mahu lihat perlawanan demi perlawanan apabila liga bermula kerana dari situ kita boleh buat kesimpulan ke mana perancangan dan haluan seterusnya buat pasukan.

“Paling penting, kita mahu kekalkan mentaliti pemain untuk menempuh setiap perlawanan itu secara positif. Kalau fikir positif tidak mustahil pasukan kita boleh jadi kompetitif untuk musim 2019,” katanya.

Detik terhebat PKNS FC sepanjang tahun lalu apabila berjaya menamatkan kempen Liga Super di tangga ketiga selain layak ke separuh akhir Piala FA, suku akhir Piala Malaysia dan Juara Piala Sultan Selangor.

Pasukan itu akan membuka tirai Liga Super bertemu Naib Juara Piala Malaysia 2018, Terengganu FC (TFC) di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah pada 1 Februari ini.


Pengarang :