SELANGOR

Tiada konsep ‘kaut untung’ profesion Peguam Syarie

OLEH ZAREEF MUZAMMIL

SHAH ALAM, 28 JAN: Ibadah, kemanusiaan dan kebajikan antara aspek ditekankan dalam profesion Peguam Syarie, sebaliknya bukan berpaksi kepada keuntungan dan bayaran tinggi semata-mata.

Pengerusi Majlis Agama Islam Selangor (MAIS), Dato’ Setia Mohammed Khusrin Munawi berkata, wujud aduan dikemukakan terhadap Peguam Syarie, khususnya di Selangor berhubung yuran guaman terlampau mahal.

Katanya, terdapat pertikaian berkaitan pelanggaran etika kerjaya itu seperti sikap dan tingkah laku tidak amanah serta tidak berintegriti dalam menjalankan tugas.

“Kita turut menerima aduan berkaitan Peguam Syarie yang diisytiharkan sebagai bankrap dan terbabit dalam ajaran bercanggah dengan ahli Sunnah Wal Jemaah yang menjadi pegangan kita di negara dan negeri ini, seperti ajaran Syiah.

“Kesan daripada aduan ini, MAIS sendiri atas perakuan Jawatankuasa Peguam Syarie Selangor pernah mengeluarkan perintah supaya peguam Syarie yang diadu digugurkan daripada Daftar Peguam Syarie Selangor seterusnya digantung Sijil Amalan Guaman dan diberi amaran,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Pengisytiharan dan Penyampaian Sijil Peguam Syarie Selangor, di Dewan Muktamar Bangunan Mahkamah Syariah Sultan Idris Shah, di sini, hari ini.

Hadir sama, Ketua Hakim Syarie Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia (JKSM), Dato’ Mukhyuddin Ibrahim; Ketua Hakim Syarie Selangor, Mohammad Adib Husain dan Presiden Persatua Peguam Syarie Malaysia (PGSM), Musa Awang.

Pada masa sama, Mohammed Khusrin mengingatkan semua Peguam Syarie baharu supaya menjalankan fungsi dengan baik sebagai sahabat Mahkamah, selain membantu menegakkan keadilan dan memberi nasihat kepada anak guam perkara yang hak serta menolak kebatilan.

Katanya, mereka perlu menyokong usaha Mahkamah dalam memartabatkan perundangan Syariah dan mewakili anak guam masing-masing dengan amanah serta beretika.

“Besar harapan saya supaya semua peguam Syarie yang baru dilantik dapat menjaga integriti, disiplin dan tingkah laku masing-masing, sesuai dengan imej dibawa sebagai peguam Syarie.

“Saya yakin mereka semua dapat melaksanakan tanggungjawab ini secara baik tanpa berlawanan dengan undang-undang dan etika sebagai seorang peguam Syarie,” katanya.

 


Pengarang :