SELANGOR

Tiada lagi dua bos, kerjasama penjawat awam resepi penting Selangor

OLEH NAZLI IBRAHIM

KLANG, 25 JAN: Kerjasama erat yang terjalin antara Kerajaan Negeri dan penjawat awam di Selangor dijangka bertambah kukuh selepas Pilihan Raya Umum Ke-14.

Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari berkata, hal ini berikutan Kerajaan Negeri dan Kerajaan Persekutuan hari ini dikuasai oleh pihak yang sama iaitu Pakatan Harapan.

“Insha Allah kerjasama pada penggal ini akan lebih mudah kerana sebelum ini mungkin ada dua bos, satu bos di Putrajaya, satu bos di tingkat 21 Bangunan Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) tetapi kali ini bosnya di Putrajaya (di pihak) sama, bos di Kerajaan Negeri juga dalam gabungan yang sama.

“Justeru, saya percaya kerjasama erat yang ada sebelum ini dan masa akan datang antara pimpinan politik, Kerajaan Negeri iaitu mereka yang dipilih dalam pilihan raya dan saudara-saudara yang juga penjawat awam dapat diteruskan serta dipereratkan lagi,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Perhimpunan Pagi Penjawat Awam Daerah Klang Bersama Dato’ Menteri Besar Selangor di Dewan Serbaguna Pejabat Daerah dan Tanah Klang di sini, hari ini.

Amirudin berkata, kerjasama erat antara Kerajaan Negeri dan penjawat awam di Selangor adalah resepi penting terhadap pencapaian cemerlang negeri ini.

Katanya, keadaan ini dapat dibuktikan apabila 10 daripada 12 Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) di Selangor memperolehi penarafan lima bintang pada 2017.

Selain penarafan lima bintang, pencapaian ekonomi Selangor turut mencerminkan kerjasama erat antara Kerajaan Negeri dan penjawat awam Selangor.

“Ini semua dicapai kerana tata kelola yang baik berjaya diserap Kerajaan Negeri kepada penjawat awam Selangor,” katanya.

Sementara itu, pada majlis sama Pejabat Tanah dan Daerah Klang hari ini dianugerahkan Pensijilan Ekosistem Kondusif Sektor Awam (EKSA).

Sijil itu disampaikan sendiri oleh Amirudin kepada Pegawai Daerah Klang, Mohd Zainal Mohd Nor.


Pengarang :