NASIONAL

Tiada tawaran diskaun kompaun JPJ

SEPANG, 29 JAN: Dasar tiada tawaran diskaun terhadap mana-mana notis kompaun yang dikeluarkan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) bagi kesalahan lalu lintas dikekalkan.

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke berkata, ia bertujuan mengurangkan kadar kemalangan dan tidak mahu pengguna jalan raya yang mendapat saman mengamalkan sikap menunggu tawaran diskaun sebelum membayar saman.

“Kita tidak mahu pengguna jalan raya ambil ringan saman tersebut,” katanya kepada pemberita selepas melancarkan Ops Bersepadu dan Kempen Keselamatan Jalan Raya 2019 sempena Tahun Baru Cina di kawasan rehat dan rawat Dengkil arah selatan di sini, hari ini.

Loke berkata, beliau juga bercadang untuk berbincang dengan Kementerian Dalam Negeri dan pihak berkuasa tempatan (PBT) supaya saman trafik dan saman dikeluarkan PBT tidak menawarkan sebarang diskaun.

“Hendak marah Menteri Pengangkutan pun marahlah. Tugas saya ialah untuk kurangkan kemalangan jalan raya. Ini KPI (Petunjuk Prestasi Utama) saya,” katanya.

Antara kesalahan lalu lintas yang sering dilakukan pengguna jalan raya adalah tidak mematuhi lampu isyarat, memotong di garisan berkembar, menggunakan telefon bimbit semasa memandu, memotong barisan, tidak memakai tali pinggang keledar, memandu di lorong kanan secara berterusan dan memandu di lorong kecemasan.

Mengenai Ops Bersepadu dan Kempen Keselamatan Jalan Raya yang bermula hari ini sehingga 12 Februari depan, Loke berkata ia mebabitkan 10,000 pegawai dan anggota penguatkuasa seperti Polis Diraja Malaysia, JPJ dan Jabatan Keselamatan Jalan Raya.

Bertemakan ‘Pandu Cermat, Sampai Selamat’ Ops Bersepadu dan Kempen Keselamatan Jalan Raya 2019 merangkumi empat program utama iaitu pendidikan, penguatkuasaan, pencegahan bersekali dengan pemantauan dan penilaian.

– BERNAMA


Pengarang :