SELANGOR

Tindakan bersuara penuhi aspirasi anggota parti – Azmin

OLEH NORHAYATI UMOR

SEMENYIH, 6 JAN: Tindakan  ‘bersuara’ dalam isu pelantikan jawatan utama pimpinan KEADILAN dipertahankan
Timbalan Presiden KEADILAN, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali.

Katanya, ia dilakukan bagi memenuhi aspirasi anggota parti itu dan sudah berjumpa Presidennya, Datuk Seri Anwar Ibrahim beberapa kali sebelum mengeluarkan kenyataan berkenaan.

“Saya akan terus bersuara di dalam atau di luar parti kerana sudah menjadi tugas saya sebagai Timbalan Presiden.

“Saya jarang keluarkan kenyataan politik, apa lagi bertulis tetapi itu tidak bererti saya tidak ikut saluran disediakan parti.

“Sebelum saya keluarkan kenyataan terbuka, saya sudah berbincang dengan Anwar dan sudah beberapa kali berjumpanya dan akan terus berbuat demikian, untuk berjumpa presiden serta pemimpin bagi membincangkan isu-isu parti,” katanya kepada media selepas Majlis Penyerahan Kunci Simfoni Rumah SelangorKu, di Eco Majestic di sini, hari ini.

Mohamed Azmin yang juga Menteri Hal Ehwal Ekonomi berkata, tindakannya juga tidak bererti beliau tidak peduli dengan saluran disediakan parti bagi menyatakan pandangan.

“Kita sentiasa berbincang dalam semua perkara maka bagi saya tiada masalah.

“Ada masa, kita perlu buat kenytaaan terbuka,” katanya.

Mengulas isu cubaan menghalang Anwar dari menjadi Perdana Menteri, Mohamed Azmin menyifatkan perkara berkenaan tanpa pengetahuannya.

“Saya tidak tahu menahu berkenaan hal itu kerana apa yang saya tahu, persefahaman masih kekal apabila Tun Dr Mahathir Mohamad dilantik sebagai Perdana Menteri dan akan diteruskan Anwar,” katanya.

Terdahulu, Mohamed Azmin menyifatkan pelantikan jawatan utama parti itu tidak mencerminkan prinsip perwakilan yang adil dan saksama.


Pengarang :