PUTRAJAYA, 3 Jan — Menteri Komunikasi dan Multimedia Gobind Singh Deo (kiri) bersalaman dengan Setiausaha Negara bagi Hal Ehwal Luar dan Komanwel United Kingdom (UK), Jeremy Hunt semasa menerima kunjungan hormat di Kementeriannya hari ini. — fotoBERNAMA (2019) HAK CIPTA TERPELIHARA
NASIONAL

Tun M terima kunjungan hormat Jeremy Hunt

PUTRAJAYA, 3 JAN: Tun Dr Mahathir Mohamad hari ini menerima kunjungan hormat Setiausaha Negara bagi Hal Ehwal Luar dan Komanwel United Kingdom (UK), Jeremy Hunt di Yayasan Kepimpinan Perdana, di sini.

Ketibaan Hunt, yang diiringi delegasi dari Pejabat Luar dan Komanwel UK, disambut perdana menteri di pejabatnya pada jam 3 petang, dengan pertemuan berlangsung hampir sejam.

Turut hadir, Menteri Luar Datuk Saifuddin Abdullah dan Pesuruhjaya Tinggi Britain di Malaysia, Vicki Treadell.

Difahamkan antara isu yang dibincangkan dalam pertemuan itu adalah pengukuhan hubungan dua hala antara Malaysia dan UK serta untuk bertukar-tukar pendapat dalam isu serantau juga antarabangsa membabitkan kepentingan bersama.

Hunt sedang melakukan lawatan rasmi dua hari ke Malaysia, bermula hari ini.

Terdahulu, Hunt mengunjungi Saifuddin dan Menteri Komunikasi dan Multimedia, Gobind Singh Deo di kementerian masing-masing, di Putrajaya.

Semalam, Wisma Putra dalam satu kenyataan berkata, lawatan itu dijangka terus mempereratkan ikatan persahabatan dan mencerminkan hubungan terjalin sejak sekian lama dengan UK, di samping mempertingkatkan kerjasama dalam bidang baharu antara kedua-dua negara.

*Sumber: BERNAMA


Pengarang :