SUKANKINI

UiTM FC sasar layak ke saingan Piala Malaysia

OLEH AFIX REDZUAN

SHAH ALAM, 28 JAN: UiTM FC menggunakan tiga khidmat pemain import dari Brunei, Senegal dan Uganda bagi mengharungi musim Liga Malaysia 2019 yang bakal bermula 1 Februari ini.

Pengurus pasukan, Mustaza Ahmad berkata, UiTM FC turut mengikat beberapa pemain tempatan bagi memperkukuh pasukan selain melantik Ismail Zakaria selaku Ketua Jurulatih baharu yang menggantikan Wan Mustafa Wan Ismail.

“Adi Said, 29, dari Brunei dipilih bagi menggantikan Okereke Timothy Chimerie yang berhijrah ke pasukan lain. Beliau pernah beraksi bersama Brunei DPMM FC dan menjadi pemain pertama dari negara itu yang beraksi di Liga Malaysia.

“Robert Waly Lopez Mendy, 32, dari Senegal dan Agele Bernard Coulibally, 27 dari Uganda akan memperkuat jentera pertahanan bersama Muhammad Zulkhairi Zulkefli,” katanya.

Antara pemain tempatan yang dikekalkan pula adalah ketua pasukan, Muhammad Afif Asyraf; pertahanan, Nik Syafiq Syazwan; pemain tengah, Muhammad Izman Solehin serta penyerang, Mohd Zulkiffli Zakaria.

Untuk musim ini, UiTM FC mensasarkan kedudukan empat terbaik sekali gus layak untuk beraksi dalam saingan Piala Malaysia serta menyimpan impian beraksi di pentas akhir Piala FA.

Sebelum itu, dalam Majlis Pengenalan Pemain dan Pelancaran Jersi Pasukan di Dewan Seri Budiman, UiTM Shah Alam, UiTM FC memperkenalkan jersi Home dengan warna ungu sementara merah bagi jersi Away yang akan digunakan sepanjang musim 2019.

Majlis perasmian disempurnakan Timbalan Naib Canselor merangkap Presiden UiTM FC, Prof Dato’ Dr Abdullah Mohamad Said selain memperkenalkan 29 pemain yang akan bersama pasukan musim ini.

Ini adalah musim ketujuh UiTM FC beraksi dalam kancah liga profesional dan satu-satunya kelab bertaraf universiti yang berjaya mara ke saingan Piala Malaysia pada 2017.

UiTM FC akan bertandang ke Stadium Majlis Perbandaran Selayang dalam aksi pertama Liga Perdana bertemu PDRM, 1 Februari ini.

 

 


Pengarang :