SELANGOR

Ulang tahun kedua Shah Alam Hari Tanpa Kenderaan hujung minggu ini

OLEH ZAREEF MUZAMMIL

SHAH ALAM, 9 JAN: Sambutan Ulang Tahun Kedua Program Shah Alam Hari Tanpa Kenderaan anjuran Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) bakal berlangsung di Dataran Kemerdekaan, Seksyen 14, pada 13 Januari ini.

Ketua Bahagian Korporat dan Perhubungan Awamnya, Shahrin Ahmad berkata, program yang mula dilaksanakan sejak 2017 itu menyajikan pelbagai aktiviti menarik, khusus kepada pengunjung.

“Antaranya pelepasan peserta bagi aktiviti riadah seperti pelepasan acara Big Walk 2019, berbasikal, senamrobik, persembahan pentas oleh kombo MBSA dan pemeriksaan kesihatan percuma.

“Kami juga menyediakan permainan ‘Wall Climbing’, senaman Taichi, ‘Mobile Library’, ‘Shah Alam On Wheels’, Kendera Saji (Food Truck), ‘Chu Chu Train’, Klinik Frisbee, ‘Hydro Gel Games’, ‘Futsal On 3’, Akademi Soccer Kids, cabutan bertuah, jualan pokok dan baja kompos.

“Selain itu, turut diadakan Jom Picnic Dhuha dan Program Eco Free Makret iaitu penyaluran serta edaran semula barangan terpakai secara percuma untuk menarik penyertaan orang ramai,” katanya dalam kenyataan.

Pada masa sama, beliau berkata, pihaknya mengharapkan kerjasama orang ramai dan pemilik bangunan di sekitar pusat bandar untuk mengambil maklum berhubung jalan yang akan ditutup sepanjang program itu.

Katanya, jalan ditutup membabitkan Persiaran Bandaraya (Dataran Kemerdekaan), Persiaran Perbandaran, Persiaran Tasik, Persiaran Masjid, Persiaran Dato’ Menteri dan Persiaran Damai, mulai jam 6.30 hingga 9.30 pagi.

Terdahulu, Program Shah Alam Hari Tanpa Kenderaan adalah inisiatif MBSA ke arah mempromosikan gaya hidup sihat, selain mengurangkan penggunaan kenderaan di atas jalan raya yang menyebabkan pelepasan gas karbon monoksida sehingga mencemarkan alam sekitar.

Ia juga selaras dengan hala tuju pihak berkuasa tempatan berkenaan untuk menjadikan Shah Alam sebagai bandar raya rendah karbon menjelang 2030.


Pengarang :