PENDIDIKANSELANGOR

UNISEL komited terus agenda lakar kejayaan

OLEH SHEEDA FATHIL

SHAH ALAM, 8 JAN: Universiti Selangor (UNISEL) terus komited meneruskan agenda melakar kejayaan dan menjadikan universiti terbabit terus kehadapan, pada tahun ini

Presiden dan Naib Canselornya, Prof Dato’ Dr Mohammad Redzuan Othman berkata, hal itu boleh direalisasikan melalui pembinaan budaya, kualiti kerja cemerlang dan berdaya saing dalam kalangan kakitangan.

“Dalam tempoh tiga tahun, kita berjaya meraih pelbagai kejayaan dan saya optimis tahun ini, UNISEL akan terus terkehadapan untuk melakar lebih banyak kejayaan baik dari segi pentadbiran, penyelidikan mahupun pendidikan.

“UNISEL sebelum ini mewarisi infrastruktur yang amat daif, tiada kenaikan pangkat malahan lima tahun tiada kenaikan gaji. Alhamdulillah, dalam tempoh tiga tahun saya menerajui, beberapa perubahan berjaya dilaksanakan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perutusan Amanat Tahun Baharu yang berlangsung di UNISEL Kampus Bestari Jaya, di sini, semalam.

Selain itu, katanya, kunjungan hormat pelbagai pihak daripada pimpinan politik sehingga pemimpin masyarakat sudah dilakukan UNISEL bertujuan menjelaskan aspirasi dan hala tuju universiti terbabit.

“Tahun ini, kita akan meneruskan kunjungan hormat itu kerana ia sedikit sebanyak dapat membuka mata pelbagai pihak untuk melihat UNISEL sebagai universiti yang mempunyai potensi besar terutama dalam bidang pendidikan.

“Malah, 2018 adalah tahun cemerlang buat UNISEL apabila menerima kunjungan daripada Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari dan Duta Besar Jepun Ke Malaysia, Dr Makio Miyagawa,” katanya.

Pada masa sama, katanya, UNISEL komited meneruskan proses menaik taraf infrastruktur dan melestarikan persekitaran daripada pelbagai sudut antaranya teknologi maklumat, pembangunan serta aktiviti penghijauan kampus.

Dalam majlis sama, beliau turut mengumumkan Kampus Bestari Jaya akan menjadi induk. manakala Kampus Shah Alam dioperasi sepenuhnya oleh Fakulti Perniagaan dan Perakaunan.

Terdahulu, Dr Mohammad Redzuan turut mengumumkan insentif RM500 kepada kakitangan, pada Februari ini dan kenaikan gaji bagi yang layak sebanyak tiga peratus.


Pengarang :