PENDIDIKANSELANGOR

UNISEL sasar tanam 2,000 pokok lestari kampus

OLEH SHEEDA FATHIL

BESTARI JAYA, 18 JAN: Universiti Selangor (UNISEL) menyasarkan akan menanam 2,000 batang pokok pelbagai jenis di sekitar Kampus Bestari Jaya, pada tahun ini.

Naib Canselornya, Prof Dato’ Dr Mohammad Redzuan Othman berkata, universiti terbabit giat melaksanakan transformasi infrastruktur dan penghijauan bagi memberi kemudahan selesa kepada semua.

Beliau turut berterima kasih kepada Kerajaan Negeri kerana sentiasa menyokong matlamat UNISEL untuk menjadikan hasrat “kampus dalam taman” tercapai.

“Pada masa sama, transformasi akademik turut bergerak seiring bagi membolehkan kualiti pendidikan di UNISEL berdaya saing dan setaraf dengan universiti awam di Malaysia,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas Program Penghijauan dan Simbolik Penanaman Pokok peringkat UNISEL di Kampus Bestari Jaya, di sini, hari ini.

Program itu disempurnakan EXCO Alam Sekitar, Teknologi Hijau, Hal Ehwal Pengguna dan Hal Ehwal Bukan Islam, Hee Loy Sian yang turut menanam pokok jenis Chinese Fringe Flower sebagai simbolik perasmian.

Pada masa sama, Dr Mohammad Redzuan berkata, beliau komited seluruh kakitangan dan pelajar UNISEL bertanggungjawab menjaga alam sekitar supaya keindahan sedia ada dapat dikekalkan.

Beliau turut merancang untuk melaksanakan program gotong-royong dan pertandingan landskap terbaik dalam kalangan komuniti serta jabatan, di UNISEL.

“Pertandingan itu antara saranan supaya setiap jabatan akan berlumba-lumba mahu menjadikan tempat mereka nyaman, sekali gus mewujudkan suasana kondusif,” katanya.


Pengarang :