Selangorkini
GLOBAL

Universiti Al Azhar tarik keputusan pecat pelajar perempuan

KAHERAH, 15 JAN: Universiti Al Azhar di sini, menarik balik keputusan bagi memecat seorang pelajar perempuan yang dilihat memeluk teman lelakinya dalam sebuah rakaman video.

Keputusan itu diambil berikutan campur tangan seorang ulama terkenal, Ahmed Al Tayeb yang menggesa lembaga disiplin universiti agar menimbangkan semula hukuman berkaitan.

Laporan AFP memaklumkan, dalam kenyataan dikeluarkan universiti itu berkata, dalam mesyuarat diadakan semalam, memutuskan membatalkan keputusan dibuat Sabtu lalu namum mengambil tindakan untuk melarang pelajar itu menduduki separuh daripada peperiksaannya.

Ahmed yang juga Imam Besar Al Azhar, ketika membuat gesaan itu menyatakan, ia demi kepentingan masa depan pelajar terbabit walaupun mengakui perlakuan di luar kampus itu bercanggah dengan agama serta budaya masyarakat.

Penarikan keputusan juga berikutan pengakuan pelajar itu yang melahirkan rasa kesal terhadap kejadian itu dan berjanji mematuhi peraturan dan etika ditetapkan universiti.

Dalam satu rakaman video yang tular awal Januari ini, seorang lelaki dengan membawa sejambak bunga, kelihatan melutut di hadapan seorang wanita dipercayai bertujuan melamarnya sebelum memeluk kekasihnya itu.


Pengarang :