Selangorkini
SELANGOR

Universiti sambut baik larangan merokok

OLEH NORHAYATI UMOR

SHAH ALAM, 10 JAN: Universiti Selangor (UNISEL) menyambut baik langkah kementerian untuk menjadikan kawasan universiti sebagai kawasan larangan merokok.

Pengarah Komunikasi Korporatnya, Hasril Abu Hassan berkata, langkah itu sebagai usaha mendidik pelajar mahupun orang ramai mengenai kesedaran untuk mewujudkan masyarakat sihat.

“Kita semua sedia maklum orang di sekeliling akan turut terkesan jika terkena asap rokok, jadi langkah ini seharusnya disambut baik kita semua.

“Ia bagi memastikan kawasan terbabit selamat dan pengguna lain dapat menghirup udara segar,” katanya kepada SelangorKini.

Pada masa sama, Hasril berkata, larangan merokok di UNISEL dikuatkuasa sejak ditubuhkan iaitu pada 1999.

Malah, katanya, papan tanda larangan merokok juga dipasang sehingga ke hari ni di kedua-dua kampus, Shah Alam dan Bestari Jaya.

“Pelajar juga mengetahui larangan merokok di dalam kawasan universiti kerana bukan setakat arahan di papan tanda malah mereka semua sentiasa diperingatkan pengurusan universiti selama ini.

“Larangan ini juga bukan kepada pelajar sahaja tetapi kepada semua yang berada di dalam kawasan kampus termasuk ibu bapa dan pihak berurusan dengan universiti,” katanya.

Sementara itu, Penolong Pendaftar Kanan Kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor (KUIS), Raja Nor Ashikin Raja Ramli berkata, pihaknya turut menyambut baik cadangan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) untuk menguatkuasakan larangan merokok di semua institusi pengajian tinggi.

“Larangan merokok di KUIS juga sudah lama dilaksanakan semenjak ianya beroperasi di Bandar Seri Putra Bangi pada 2000.

“Pada dasarnya larangan merokok ini adalah bagi memastikan KUIS mempunyai persekitaran yang selesa dan terhindar daripada pencemaran udara khususnya daripada asap rokok,” katanya.

Beliau berkata, memandangkan KUIS adalah sebuah institusi pengajian tinggi Islam tersohor milik penuh Majlis Agama Islam (MAIS) di Selangor maka pelaksanaan larangan merokok di kawasan kampus diberi perhatian.

“KUIS sentiasa memberi perhatian dan akan memaklumkan kepada mana-mana penganjur melaksanakan program di kampus dan kebanyakan mereka amat memahami serta mengambil maklum akan larangan itu juga menghormati undang-undang dilaksanakan,” katanya.


Pengarang :