Selangorkini
EKONOMI NASIONAL

UOB Bank jangka ekonomi Malaysia lebih jelas awal Mac

KUALA LUMPUR, 15 JAN: Ekonomi global dan Malaysia dijangka menyaksikan petanda positif pada akhir Februari dan awal Mac ini, kata United Overseas Bank (M) Bhd (UOB Bank).

UOB Bank berkata, jangkaan itu bersandarkan kepada perkembangan yang berlaku di seluruh dunia terutama hubungan antara Amerika Syarikat (AS) dan China menjadi lebih jelas.

UOB Bank turut menjangkakan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia akan kekal berkembang sederhana, pada tahun ini.

Pengarah Urusan dan Ketua Negara Perkhidmatan Kewangan Peribadi UOB Bank, Ronnie Lim berkata, jangkaan itu berdasarkan situasi ekonomi dunia, khususnya pertumbuhan negara ekonomi terbesar dunia seperti AS dan China.

Memetik laporan Berita Harian, Lim berkata, pertumbuhan AS disasarkan pada 2.9 peratus, namun dijangka hanya berkembang 2.6 peratus tahun ini begitu juga dengan pertumbuhan China yang menyaksikan pertumbuhan 6.2 peratus berbanding sasaran awal 6.6 peratus.

“Negara besar lain seperti United Kingdom dan Jepun juga berhadapan dengan pertumbuhan sederhana. Satu dunia mengalami perkara yang sama.

“Ini disebabkan pertumbuhan KDNK dan perang perdagangan di antara AS dan China yang menjejaskan pertumbuhan ekonomi negara lain,” katanya selepas melancarkan Kad Visa Infinite Metal UOB (Infinite Metal UOB) di sini, hari ini.

Hadir sama ialah Pengurus Negara Visa untuk Malaysia, Ng Kong Boon.

Infinite Metal UOB adalah kad kredit yang disasarkan untuk pengguna segmen mewah terpilih.

Lim berkata, segmen kad kredit antara penyumbang utama kepada perniagaan keseluruhan UOB sebanyak 30 peratus dan ia pengeluar kedua terbesar pasaran kad kredit di Malaysia.

Lantaran itu, katanya pelbagai inisiatif dan produk baharu berkaitan kad kredit dilancarkan bank itu bagi memenuhi dan memberi nilai tambah kepada pelanggan.

“Ketika ini kita ada sebanyak satu juta kad kredit dikeluarkan. Bagi segmen pelanggan mewah pula, berdasarkan data kami, perbelanjaan berkaitan pengembaraan meningkat sebanyak 35 peratus.

“Pada 2018 saja, pemegang kad kredit mewah membelanjakan RM205 juta untuk produk dan perkhidmatan berkaitan pengembaraan, meningkat sebanyak 23 peratus berbanding tahun sebelumnya.

“Justeru, UOB memperkenalkan Infinite Metal UOB khusus untuk golongan mewah dengan pelbagai ganjaran. Tawaran ini akan disediakan kepada pelanggan atas dasar jemputan saja,” katanya.

Lim berkata, pengguna kad kredit mewah di Malaysia mencatatkan peningkatan sebanyak 20 peratus dari tahun ke tahun.

 


Pengarang :