NASIONAL

Usaha anti kerajaan sabotaj ekonomi Melayu demi kepentingan politik dikecam

OLEH NAZLI IBRAHIM

SHAH ALAM, 19 JAN: Golongan anti kerajaan yang menimbulkan persepsi kononnya Kerajaan Pakatan Harapan (PAKATAN) berjaya meruntuhkan ekonomi orang Melayu dikecam apabila tindakan itu menjurus kepada perbuatan mensabotajnya sendiri demi kepentingan politik kepartian kelompok terbabit.

Ahli Pemegang Amanah Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia, Dr Rosli Yaakob berkata, lebih buruk lagi apabila golongan itu sebenarnya lebih berminat melihat kejatuhan ekonomi orang Melayu supaya dapat menunjukkan ‘kejahatan’ kerajaan.

“Barisan Nasional (BN) lebih 60 tahun memerintah di mana banyak usaha mereka gagal termasuk Dasar Ekonomi Baru (DEB) yang tidak mencapai sasaran.

“Tiba-tiba hari ini mereka mendakwa kerajaan PAKATAN berjaya meruntuhkan ekonomi Melayu hanya dalam tempoh masa kira-kira lapan bulan selepas menang Pilihan Raya Umum Ke-14 lalu di mana sudah tentu tidak masuk akal.

“Sebenarnya golongan anti kerajaan inilah yang tidak berminat membantu ekonomi Melayu dan lebih dahsyat lagi, mereka berharap ekonomi Melayu runtuh dan kemudian menuduh angkara kerajaan,” katanya ketika dihubungi SelangorKini di sini, hari ini.

Beliau yang juga bekas Timbalan Pengarah Bank Negara Malaysia berkata, pada masa ini beliau melihat kerajaan gigih berusaha meningkatkan ekonomi semua golongan ketinggalan khasnya membabitkan kaum Bumiputera.

Katanya, antara usaha dijalankan seperti meneruskan bantuan dana perniagaan kepada peniaga Melayu menerusi pelbagai agensi seperti Majlis Amanah Rakyat (MARA), Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM) dan lain-lain.

“Kalau betul kerajaan nak runtuhkan ekonomi Melayu, kenapa bantuan kewangan dan teknikal masih diteruskan, malah ada yang ditambah dan usaha penambahbaikan sentiasa dibuat mengikut kesesuaian semasa,” katanya lagi.

Katanya, golongan tidak bertanggungjawab itu turut bertindak menyebarkan berita palsu.

Antaranya, tindakan menyebarkan propaganda kononnya terdapat agensi pemberi pinjaman perniagaan Bumiputera dihentikan operasinya oleh kerajaan yang mampu membantutkan niat usahawan untuk memohon pinjaman.


Pengarang :