GLOBAL

Venezuela putus hubungan diplomatik, politik dengan AS

ANKARA, 24 JAN: Presiden Venezuela, Nicolas Maduro mengumum memutuskan semua hubungan dengan Amerika Syarikat (AS) selepas Washington mengiktiraf Juan Guaido, yang merupakan presiden Perhimpunan Kebangsaan yang dikuasai pembangkang, sebagai presiden sementara negara itu.

Agensi berita rasmi Turki Anadolu melaporkan bahawa Maduro membuat pengumuman itu ketika berucap kepada penyokongnya yang berhimpun di Istana Presiden di ibu kota Caracas bagi menunjukkan sokongan mereka dan menentang demonstrasi terhadap beliau.

“Saya telah membuat keputusan untuk memutuskan hubungan diplomatik dan politik dengan kerajaan imperialis Amerika Syarikat,” katanya.

Maduro turut memberi tempoh selama 72 jam kepada diplomat AS untuk meninggalkan negara itu.

Beliau berkata negara itu kini berdepan satu perjuangan bersejarah, oleh itu semua orang perlu berwaspada.

“Saya meminta taat setia yang tidak berbelah bahagi daripada pihak tentera, perpaduan dan disiplin yang maksimum, dalam perjuangan ini yang bakal kita menangi.

“Kita hendaklah sentiasa taat setia, jangan sesekali jadi pengkhianat,” katanya.

Terdahulu, Presiden AS, Donald Trump mengiktiraf pemimpin pembangkang Venezuela Guaido sebagai presiden sementara negara itu.

Perkara itu sekali gus menyebabkan hubungan antara Washington dan Maduro menjadi semakin panas serta tegang.

– BERNAMA

 


Pengarang :