SELANGOR

Wajib syarat imunisasi ke sekolah boleh beri kesan

OLEH NORHAYATI UMOR

SHAH ALAM, 16 JAN: Dr Siti Mariah Mahmud menolak cadangan sebuah badan bukan kerajaan yang mahu mewajibkan suntikan imunisasi sebagai syarat wajib bagi kemasukan taska dan sekolah.

EXCO Kesihatan, Kebajikan, Pemerdayaan Wanita dan Keluarga itu berkata, beliau bimbang jika langkah terbabit dilaksanakan, ia akan memberi kesan pendidikan kepada kanak-kanak.

“Saya menyokong cadangan ini, kerana ia akan dapat melindungi penyakit dari merebak, namun saya bimbang ke mana kanak-kanak ini akan pergi jika mereka tidak dapat bersekolah?” katanya kepada SelangorKini.

Beliau berkata demikian mengulas saranan Persatuan Kesihatan Ikram Malaysia, Dr Ahmad Faidhi Mohd Zaini yang mencadangkan Kementerian Kesihatan supaya menjadikan suntikan vaksin sebagai syarat wajib kemasukan taska dan sekolah.

Mengulas gerakan kumpulan anti-vaksin yang aktif di media sosial, beliau berkata, golongan terbabit perlu dipujuk dan ditangani sebaiknya.

Katanya, sudah tiba masanya semua pihak yang menyokong penggunaan bahan itu untuk menjawab persoalan dibangkitkan gerakan penolakan vaksin yang menggunakan media sosial untuk mempengaruhi pemikiran orang ramai.

“Negara kita menyediakan sistem imunisasi terbaik. Di Selangor, penyakit batuk kering lebih tinggi daripada wabak denggi, sedangkan satu ketika dulu, negara kita dapat mengawalnya.

“Tetapi dengan adanya migran, ia meningkat. Oleh itu, kita perlu berhati-hati dengan wabak penyakit, sebab itu kita perlukan vaksin untuk anak,” katanya.

 


Pengarang :